KDN perketat kawalan sempadan, tolak kemasukan warga Israel

WhatsApp Image 2026 07 29 at 11.07.12 AM

Gambar ilustrasi

Oleh: Nurul Fazliana Norman

PUTRAJAYA: 29 Julai 2026 – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan kawalan sempadan negara akan terus diperketat, selaras dengan pendirian Kerajaan MADANI terhadap kemasukan warganegara Israel. Pemeriksaan imigresen yang ketat, penguatkuasaan undang-undang, dan penilaian keselamatan menyeluruh akan dilaksanakan untuk memastikan keselamatan, kedaulatan, dan kepentingan awam terus terpelihara.

KDN dalam kenyataan kelmarin memaklumkan pihaknya menyokong sepenuhnya pendirian tegas kerajaan yang dinyatakan Perdana Menteri berhubung Malaysia terhadap Israel, di samping komitmen negara mempertahankan hak rakyat Palestin dan memelihara kepentingan nasional.

Kementerian itu menegaskan semua aspek kawalan sempadan, pemeriksaan imigresen, penguatkuasaan undang-undang, dan keselamatan dalam negeri akan terus dilaksanakan secara profesional dan tanpa kompromi.

Jabatan Imigresen Malaysia akan menguatkuasakan semua peruntukan undang-undang berkaitan kemasukan warga asing, termasuk Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155), Akta Pasport 1966 (Akta 150), peraturan imigresen yang berkuat kuasa, dan penilaian keselamatan oleh agensi keselamatan negara.

Kenyataan itu juga menegaskan bahawa dokumen perjalanan yang dikeluarkan Israel tidak diiktiraf untuk kemasukan ke Malaysia, selaras dengan dasar negara yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel.

Setiap permohonan kemasukan warga asing akan melalui proses pemeriksaan imigresen, semakan keselamatan, dan penilaian risiko secara menyeluruh. Individu yang dikenal pasti boleh menjejaskan keselamatan, ketenteraman awam, atau kepentingan negara – termasuk dalam kategori imigran dilarang di bawah Seksyen 8 Akta Imigresen 1959/1963 – tidak akan dibenarkan masuk atau akan dikenakan tindakan undang-undang.

KDN menjelaskan bahawa pengurusan pintu masuk negara bukan sekadar urusan imigresen, tetapi sebahagian daripada sistem keselamatan negara yang dilaksanakan secara bersepadu bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), dan agensi penguatkuasaan berkaitan.

“KDN akan terus memperkukuh kawalan sempadan negara melalui penggunaan teknologi, perkongsian risikan, pemprofilan risiko, dan penguatkuasaan bersepadu untuk memastikan Malaysia kekal selamat, berdaulat, dan bebas dari sebarang ancaman,” menurut kenyataan itu.

Kementerian itu menegaskan komitmennya untuk melaksanakan semua dasar dan keputusan kerajaan secara profesional, telus, dan berintegriti demi memelihara keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

Sumber: Kementerian Dalam Negeri

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal