RANAU: 27 Oktober 2026 — Buat pertama kali, sekumpulan murid luar bandar di Ranau berpeluang menyebut perkataan Inggeris dengan yakin di hadapan rakan-rakan mereka, hasil kaedah pembelajaran interaktif yang menyeronokkan.
Seramai 75 murid sekolah rendah menyertai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) “Word Wizards: From Sounds to Stories” selama tiga hari di SK Tungou, dari 13 hingga 15 Oktober lalu.

Program itu memfokuskan pemantapan kemahiran literasi asas, pembinaan keyakinan diri dan cetusan kreativiti dalam kalangan murid luar bandar.
Peserta dari SK Tungou dan enam sekolah sekitar didedahkan dengan kaedah pembelajaran interaktif menerusi aktiviti fonik, permainan bahasa dan cabaran berkumpulan untuk membantu mereka menguasai bahasa Inggeris.
Program itu turut merangkumi Kempen Derma Buku dengan sumbangan dari CEFL HQ, National Geographic Learning dan komuniti CEFL Kota Kinabalu yang menyediakan bahan bacaan tambahan kepada murid di luar bilik darjah.
Program anjuran bersama CEFL Ibu Pejabat, CEFL Kota Kinabalu, SK Tungou dan PPD Ranau itu diadakan sempena ulang tahun ke-25 CEFL. Majlis penutup disempurnakan Pegawai Perhubungan Sekolah PPD Ranau, Marcel Michael Iging.

