Ops Serkap patahkan cubaan seludup migran di Changlun

IMG 3787

Oleh: Nurul Fazliana Norman

CHANGLUN: 27 Oktober 2026 — Cubaan menyeludup seorang warga asing ke sempadan Malaysia-Thailand menggunakan perkhidmatan teksi eksekutif berjaya dipatahkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Kedah dalam Ops Serkap di sini, selepas sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dipintas ketika menuju ke utara.

Operasi yang dilaksanakan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas JIM Kedah itu melibatkan tindakan mengesan dan mengekori SUV berkenaan dari arah Lebuhraya Utara-Selatan sebelum kenderaan itu dipintas.

Hasil pemeriksaan mendapati tiga individu berada di dalam kenderaan itu, terdiri dari dua warganegara Malaysia, masing-masing seorang lelaki dan seorang perempuan, termasuk seorang warganegara China.

Kedua-dua warganegara Malaysia disyaki terbabit dalam kesalahan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670), manakala warganegara China berkenaan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Menurut JIM Kedah, modus operandi kegiatan itu dipercayai menggunakan perkhidmatan teksi eksekutif untuk membawa warga asing dari Kuala Lumpur ke kawasan sempadan Malaysia-Thailand melalui laluan tidak rasmi atau jalan tikus.

Bayaran perkhidmatan berkenaan dipercayai dibuat melalui transaksi dalam talian.

Dalam operasi itu, pihak imigresen turut merampas lima telefon bimbit, sebuah pasport Republik Rakyat China, dua kad pengenalan Malaysia dan sebuah SUV untuk membantu siasatan lanjut.

Permohonan reman terhadap suspek di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah telah dibenarkan Mahkamah Majistret Jitra selama tiga hari membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

JIM Kedah kini meneruskan siasatan untuk mengenal pasti dan mengesan individu lain yang dipercayai terbabit dalam kegiatan penyediaan perkhidmatan membawa warga asing ke sempadan secara tidak sah.

Usaha mengesan individu lain yang disyaki terlibat, khususnya warganegara Malaysia yang menyediakan perkhidmatan berkenaan, sedang giat dijalankan.

JIM Kedah menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan terus dipergiatkan untuk membanteras kegiatan penyeludupan migran dan pelanggaran undang-undang imigresen.

Orang ramai turut diseru supaya tidak terbabit dalam sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang dan menyalurkan maklumat berkaitan kepada pihak berkuasa.

Sumber: JIM Negeri Kedah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal