KUALA LUMPUR: 7 Mei 2026 – Kegiatan pemalsuan cap keselamatan imigresen yang dipercayai didalangi dua lelaki warga Indonesia akhirnya terbongkar selepas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melancarkan operasi khas di sekitar ibu negara dan Selangor, pada 4 Mei.
Dalam operasi yang dijalankan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya itu, dua suspek masing-masing berusia 52 tahun ditahan di dua premis kediaman di Taman Kepong Indah, Kuala Lumpur dan Taman Dagang, Ampang.
Serbuan yang dilakukan sekitar jam 12 tengah hari itu merupakan hasil risikan selama sebulan terhadap kegiatan sindiket yang dipercayai menyediakan endorsmen palsu masuk dan keluar untuk warga asing, khususnya rakyat Indonesia yang tinggal lebih masa di negara ini.
Pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua suspek tidak memiliki sebarang pas atau dokumen perjalanan sah untuk berada di Malaysia.
Turut dirampas dalam operasi berkenaan ialah 20 unit cap palsu keselamatan JIM, 16 pasport Indonesia, empat dokumen Surat Perjalanan Laksana Paspor Indonesia, dua telefon bimbit, sebuah komputer riba, mesin pencetak dan mesin pengimbas.
Pihak imigresen turut menyita dua kenderaan jenis Proton Exora dan Nissan Almera yang dipercayai digunakan untuk menjalankan kegiatan sindiket terbabit.
Siasatan awal mendapati seorang daripada suspek pernah ditahan JIM pada Jun tahun lalu atas kesalahan sama sebelum dihantar pulang ke negara asal dan disenarai hitam daripada memasuki Malaysia.
Namun, lelaki terbabit dipercayai kembali menyusup masuk ke negara ini melalui laluan tidak diwartakan sebelum meneruskan semula kegiatan haram tersebut.
Sindiket itu dipercayai aktif sejak setahun lalu dengan menawarkan perkhidmatan pemalsuan endorsmen imigresen menerusi aplikasi WhatsApp, Telegram dan TikTok untuk mendapatkan pelanggan di sekitar Lembah Klang.
Mereka dipercayai mengenakan bayaran antara RM100 hingga RM350 untuk setiap endorsmen dengan transaksi dibuat secara dalam talian.
Kedua-dua suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63.
