SANDAKAN: 10 Mei 2026 – Keadaan daif di sekolah Sabah hanya membabitkan bangunan tertentu dan bukannya keseluruhan sekolah.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, James Ratib berkata, kebanyakan sekolah di Sabah mempunyai gabungan blok lama dan baharu yang dibina pada masa berbeza.
“Bukan sekolah yang daif tetapi bangunan yang daif dalam sekolah itu.
“Kalau semua bangunan rosak dan tidak selamat digunakan, barulah boleh dikategorikan sebagai sekolah daif,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan sambutan Pesta Kaamatan peringkat daerah Sandakan, Sabtu.
Menurutnya, masih terdapat bangunan lama terutama struktur kayu yang dibina sekitar 1970-an dan 1980-an yang perlu diganti dengan bangunan konkrit.
Namun katanya, bangunan lain yang masih berada dalam keadaan baik masih digunakan termasuk blok baharu yang telah siap dibina pada 2023 dan 2024.
James menjelaskan penggunaan istilah “bangunan daif” yang lebih tepat supaya rakyat tidak salah faham dan menganggap keseluruhan sekolah berada dalam keadaan uzur.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata masih banyak bangunan sekolah lama terutama di luar bandar Sabah memerlukan peruntukan Kerajaan Persekutuan untuk kerja naik taraf dan penggantian.
