BANGGI: 9 Mei 2026 – Dari Pos Dogoton ke Karakit, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengadakan lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Banggi, sebuah lokasi yang pernah dikunjunginya kira-kira 32 tahun yang lalu.
“Kunjungan ini menghimbau kembali lawatan saya pada 10 November 1994 untuk meletakkan batu asas dan melakukan upacara pecah tanah sebagai simbolik permulaan pembinaan SMK Banggi. Hingga hari ini, sekolah ini kekal sebagai satu-satunya sekolah menengah di Pulau Banggi,” katanya melalui halaman Facebook rasminya.

Perdana Menteri juga berkesempatan bertemu dengan bekas pengetua SMK Banggi, Cikgu Abdul Kadir Junaidil, yang memimpin sekolah tersebut ketika mula membuka pintunya kepada anak-anak Banggi pada tahun 1997.
Menurut beliau, sebelum sekolah ini diwujudkan, ramai pelajar terpaksa ke tanah besar di Kudat untuk menyambung pendidikan. Tidak kurang juga yang terhenti persekolahan kerana kekangan kewangan dan kesukaran perjalanan.
“Alhamdulillah, sekolah yang suatu ketika dahulu hanya sebuah tapak kini berdiri megah dan menjadi medan mencorak masa depan pulau terpencil ini.
“Pertemuan dengan anak-anak yang pernah menimba ilmu di sekolah ini dan telah melangkah jauh dalam kehidupan memberi makna yang besar buat saya,” katanya.
Beliau berharap, anak-anak Banggi akan terus berjaya, kembali menyumbang kepada masyarakat, dan menjadi sebahagian daripada ikhtiar besar untuk membangunkan pulau tersebut demi masa depan yang lebih adil dan bermaruah.

