KENINGAU: 6 Mei 2026 – Empat pelajar dari Kolej Vokasional (KV) Keningau berjaya mengharumkan nama institusi apabila karya penulisan mereka diterbitkan dalam majalah dwibahasa E-Magz keluaran institusi pendidikan STIKIP PGRI Pacitan, Indonesia, baru-baru ini.
Artikel yang diterbitkan itu bertemakan kesamarataan jantina, sekali gus mencerminkan keupayaan pelajar Sabah mengupas isu global menggunakan Bahasa Inggeris secara kritis dan kreatif. Kesemua pelajar terbabit turut menerima sijil penghargaan sebagai penulis untuk edisi tersebut.
Pengarah KV Keningau, Lumang anak Lang, dalam kenyataannya memaklumkan bahawa pencapaian itu membuktikan potensi pelajar dalam menghasilkan penulisan berkualiti dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Menurut beliau, platform seperti ini mampu memperkukuh kemahiran berfikir aras tinggi dan penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar.
Empat pelajar tersebut, Nurshaeera Natasha, Dazy Alexandra Zena, Nurul Safirah Mohd Salleh dan Samantha Faith Patrick masing-masing mewakili latar belakang program berbeza dalam bidang teknologi dan hospitaliti.
Nurshaeera menghasilkan artikel berbentuk wawancara yang mengetengahkan pengalaman seorang wanita berjaya dalam kerjaya juruelektrik, sekali gus mencabar stereotaip pekerjaan yang sering didominasi lelaki. Dazy pula berkongsi pengalaman peribadi sebagai pelajar dalam program teknologi kimpalan yang majoriti pesertanya adalah lelaki.
Sementara itu, Nurul Safirah memberi fokus terhadap aspek keselamatan dan kebajikan wanita dalam bidang penguatkuasaan undang-undang, manakala Samantha mengemukakan hujah berhubung persepsi negatif terhadap wanita dalam pelbagai sektor.
Penyertaan dan kejayaan ini dilihat sebagai satu langkah positif dalam memperkasa pelajar vokasional bukan sahaja dari aspek kemahiran teknikal, tetapi juga dalam penguasaan bahasa dan keupayaan menyuarakan isu-isu semasa di peringkat global.
