Pelancongan Semporna diperkasa menerusi perancangan menyeluruh

005b6c8a 37f2 49e1 bfd2 655b40f04e69

SEMPORNA: 7 Mei 2026 – Kerajaan negeri akan melaksanakan perancangan menyeluruh termasuk menambah baik fasiliti sedia ada untuk memperkukuh sektor pelancongan di Semporna.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, Semporna mempunyai kelebihan tersendiri kerana memiliki destinasi pelancongan bertaraf dunia termasuk Pulau Sipadan selain beberapa pulau lain.

Katanya, usaha meningkatkan kebersihan dan kemudahan termasuk jeti di pulau sekitar Semporna turut diberi perhatian untuk memastikan daerah itu terus menjadi destinasi utama pelancong.

“Semua ini akan dilihat secara menyeluruh untuk memastikan Semporna menjadi sebuah daerah pelancongan yang hebat kerana di sini ada Pulau Sipadan dan pulau lain yang cukup dikenali,” kata Hajiji kepada pemberita selepas mendengar taklimat pembangunan daerah Semporna ketika lawatan di Pulau Mataking, pada Khamis.

Tegasnya, sektor pelancongan di Semporna perlu dipelihara dengan baik kerana ia merupakan aset pelancongan penting untuk Sabah dan Malaysia.

“Kita perlu melakukan yang terbaik untuk meningkatkan lagi kemudahan dan apa yang diperlukan di daerah ini selaras dengan pembangunan pelancongan Semporna, begitu juga di Lahad Datu dan Sandakan,” katanya.

Pada program itu, beliau turut melawat Pulau Sipadan dan menghadiri peletakan batu asas pos keselamatan di Pulau Ligitan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal