KENINGAU: 10 Mei 2026 – Hampir 500 belia menyertai latihan tarian tradisional etnik Gana dan Kadazandusun sempena Semarak Belia @ Hari Belia Negara peringkat Pedalaman Atas di Kolej Vokasional (KV) Keningau, kelmarin.
Program anjuran Kementerian Belia dan Sukan Bahagian Keningau dengan kerjasama KV Keningau itu menampilkan lima jurulatih dari Persatuan Etnik Gana Sabah (PEGS) untuk mengendalikan kelas tarian dan menjadi juri pertandingan.

Mereka ialah Keathey Junidi, Angelia Posius, Nicole Tay Ming Zing, Mohd Ajai Abdullah dan Alfred Junior Vetus.
Peserta terdiri dari pelajar KV Keningau dan Kolej Geomatika Keningau dibimbing dalam tarian Sumazau Kadazan dan Mansayau Gana sebelum membuat persembahan mengikut kumpulan.
Setiap kumpulan menerima hadiah wang tunai manakala tiga pasukan terbaik membawa pulang hadiah utama.
Sambutan Semarak Belia @ Hari Belia Negara peringkat Pedalaman Atas tahun ini mengetengahkan aktiviti tarian tradisional bersama PEGS dan senaman aerobik dikendalikan oleh pasukan CardioFit Keningau.

Pengarah KV Keningau, Lumang Anak Lang berkata program itu mampu menggalakkan belia mengamalkan gaya hidup sihat di samping memberi pendedahan kepada industri kreatif dalam bidang kesenian, kebudayaan dan muzik.
“Program seperti ini mampu memperkasakan warisan budaya di samping memberi pendedahan praktikal kepada golongan belia,” katanya.
