Gambar ilustrasi
Oleh: Nurul Fazliana Norman
TAWAU: 28 Julai 2026 – Dua serbuan berasingan yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menerusi Ops Tapis membawa kepada penahanan seorang penganggur tempatan dan seorang wanita warga asing kerana disyaki memiliki dadah jenis syabu di dua lokasi berasingan di daerah ini, semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Wilynton Enchana Watt berkata, serbuan pertama dijalankan kira-kira jam 2.20 petang di Kampung Tanjung Batu Keramat, Tawau hasil Ops Tapis membawa kepada penahanan seorang penganggur tempatan berusia 32 tahun dalam keadaan mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan, suspek telah menyerahkan sendiri satu paket plastik lutsinar mengandungi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 0.35 gram kepada pihak polis,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, serbuan kedua pula dijalankan kira-kira jam 2.45 petang di kawasan koridor Flat Sabindo, Tawau yang membawa kepada penahanan seorang wanita warga asing berusia lingkungan 30-an.
Katanya, hasil pemeriksaan lanjut menemukan satu paket plastik lutsinar mengandungi bahan disyaki dadah jenis syabu seberat 0.20 gram yang turut diserahkan oleh suspek kepada anggota serbuan.
“Ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine,” katanya.
Menurut beliau, jumlah keseluruhan rampasan bagi kedua-dua kes ialah 0.55 gram syabu dan kedua-dua suspek kini disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Beliau menegaskan polis terus memperhebat operasi membanteras penyalahgunaan dan pengedaran dadah di daerah ini, seterusnya menyeru orang ramai supaya menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan berkenaan untuk membantu usaha membanteras penyalahgunaan dadah.
Sumber: Polis Daerah Tawau

