52 Finalis UNK 2026 bertanding di pentas akhir 31 Mei, 25 nama bakal ke Pusingan Kedua

109a84b5 1b21 4bf2 86eb 3d2bf3872115

PENAMPANG: 14 April 2026 – Jawatankuasa Unduk Ngadau Kaamatan (UNK) Peringkat Negeri Sabah 2026 hari ini mengeluarkan penjelasan lanjut berkenaan proses penilaian awal para finalis bagi Perayaan Pesta Kaamatan tahun ini, susulan kenyataan akhbar Timbalan Ketua Menteri I merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Penganjuran Perayaan Pesta Kaamatan 2026, Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam, kelmarin.

Menurut jawatankuasa, kesemua 52 orang finalis UNK 2026 akan tetap mengambil bahagian dalam Pertandingan Akhir pada 31 Mei 2026 di Hongkod Koisaan KDCA. Ini sekaligus menafikan sebarang kekeliruan yang mendakwa hanya sebilangan finalis sahaja yang layak ke pentas akhir.

Jawatankuasa memutuskan seramai 25 orang finalis akan dipilih untuk mara ke pusingan kedua, berbanding hanya 15 orang pada tahun sebelumnya. Seterusnya, 7 orang finalis terbaik akan dipilih untuk mara ke pusingan akhir (grand final).

“Inisiatif ini dilaksanakan untuk memberi peluang yang lebih luas kepada para finalis UNK untuk menunjukkan potensi masing-masing di pusingan kedua,” jelas Pengerusi Jawatankuasa Unduk Ngadau Kaamatan Peringkat Negeri Sabah (UNK 2026), Dr Mary Gambidau.

Tegas jawatankuasa lagi, setiap peserta akan dinilai secara menyeluruh bermula dari Minggu UNK yang berlangsung dari 26 Mei hingga 30 Mei 2026, sehinggalah ke pentas akhir pada 31 Mei 2026. Proses penilaian awal sepanjang minggu tersebut akan menjadi aspek penting dalam menentukan kelayakan peserta ke pusingan seterusnya.

Penganjuran Pesta Kaamatan peringkat negeri tahun ini dijangka berlangsung meriah dengan penglibatan penuh 52 finalis yang mewakili pelbagai daerah di seluruh Sabah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal