Malaysia ganti Bahrain hos F1 susulan konflik Timur Tengah

f653dd6f fe76 4649 8e0b 5aa78d4da886

KUALA LUMPUR: 28 Julai 2026 – Malaysia akan menjadi tuan rumah perlumbaan Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di Litar Antarabangsa Sepang dalam tempoh dua bulan lagi. Keputusan itu menyusul penyerahan penganjuran oleh Kerajaan Bahrain berikutan konflik di Timur Tengah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, persetujuan dicapai selepas Raja Bahrain melalui Putera Mahkota yang juga Perdana Menteri Bahrain, Putera Salman Hamad Al Khalifa, mengesahkan pemindahan perlumbaan ke Malaysia.

Menurut beliau, Malaysia dipilih antara beberapa negara yang dipertimbangkan kerana rekod keselamatan yang baik, pengurusan cekap, dan kestabilan negara. “Malaysia dipilih kerana negara ini aman, pengurusannya baik, dan rakyatnya bersatu,” katanya.

Anwar berkata, kerajaan pada peringkat awal meneliti implikasi kewangan penganjuran memandangkan keutamaan negara ialah menangani kos sara hidup dan perumahan rakyat. Namun, hasil rundingan dengan Kerajaan Bahrain, Formula 1, dan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), Malaysia tidak perlu membayar yuran penganjuran kepada Formula One Management (FOM).

Kerajaan hanya dijangka menanggung kos menaik taraf kemudahan di Litar Antarabangsa Sepang yang dianggarkan antara RM11 juta hingga RM16 juta. Anwar berkata, kos itu jauh lebih rendah berbanding penganjuran F1 sebelum ini yang memerlukan perbelanjaan ratusan juta ringgit termasuk yuran penganjuran.

Beliau berkata, perlumbaan itu dijangka menarik pasukan Formula 1, pegawai teknikal, jurutera, dan peminat sukan permotoran dari seluruh dunia ke Malaysia.

“Saya telah memberi jaminan kepada Perdana Menteri Bahrain dan Ketua Pegawai Eksekutif Formula 1, Stefano Domenicali, bahawa Malaysia bersedia dari segi pengurusan dan keselamatan untuk menganjurkan perlumbaan ini,” katanya.

Dalam hantaran di Facebook, Anwar merakamkan penghargaan kepada Putera Salman Hamad Al Khalifa, Kerajaan Bahrain, dan rakyat negara itu atas kepercayaan yang diberikan kepada Malaysia untuk membantu menganjurkan Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di Sepang.

Beliau berkata, kerjasama itu mencerminkan hubungan erat antara Malaysia dan Bahrain, sekali gus membuktikan keupayaan Malaysia menjadi tuan rumah acara sukan bertaraf antarabangsa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal