Oleh: Nurul Fazliana Norman
KOTA KINABALU: 21 September 2026 – Tokoh politik veteran Sabah, Datuk Haji Yahya Lampong, meninggal dunia sekitar jam 6 pagi tadi di Ampang Puteri Specialist Hospital (KPJ), Ampang.
Perkara itu dimaklumkan anak Allahyarham, Masley Yahya, yang turut memohon orang ramai agar terus mendoakan Allahyarham.
“Dengan hati yang berat, saya ingin memaklumkan bahawa ayahanda tercinta, Datuk Haji Yahya Lampong, telah meninggal dunia sekitar jam 6 pagi tadi di Ampang Puteri Specialist Hospital (KPJ),” kata Masley Yahya.
Jenazah Allahyarham kini berada di Masjid Nurul Islam, Ampang untuk dimandikan dan diuruskan sebelum solat jenazah dilaksanakan.
Jenazah dijangka dikebumikan selepas solat Zohor, hari ini.
Allahyarham pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Kota Belud, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tempasuk selain menggalas tanggungjawab sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar di peringkat Persekutuan.
Selain itu, Allahyarham turut pernah menerajui Kumpulan SEDCO sebagai Pengerusi, mempunyai pengalaman dalam bidang pembangunan ekonomi dan korporat negeri.
Jasa dan sumbangan Allahyarham sepanjang khidmatnya kepada rakyat, Sabah dan negara akan terus dikenang.
Pemergian Allahyarham turut menerima ucapan takziah dari pelbagai pihak.

