Oleh: Zaidul Khair bin Jungkim
KOTA KINABALU: 21 September 2026 – Panggilan telefon menggunakan nombor yang kelihatan seperti nombor rasmi tidak semestinya boleh dipercayai kerana penjenayah mampu memalsukan nombor telefon melalui teknik spoofing call.
Menerusi modus operandi itu, penjenayah menyamar sebagai pihak berkuasa, bank atau agensi kerajaan untuk menakutkan mangsa sebelum mendapatkan maklumat peribadi, maklumat perbankan atau wang.
Orang awam perlu kekal tenang apabila menerima panggilan mencurigakan, menghentikan panggilan itu lalu tidak mudah terpedaya.
Konsep 3S iaitu Soal, Sekat, Sebar turut boleh diamalkan untuk mengelakkan dari menjadi mangsa.
Soal, bererti tindakan menyemak kesahihan maklumat disampaikan. Sekat pula bermaksud tidak berkongsi maklumat peribadi atau perbankan. Sebar, ialah tindakan berkongsi maklumat mengenai modus operandi dengan pihak berkuasa atau rakan-rakan.
Jika menjadi mangsa, hubungi hotline bank untuk menghentikan transaksi mencurigakan. Mangsa juga boleh menghubungi Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) melalui talian 997, dan membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.
Sumber: Polis Daerah Keningau

