KUALA LUMPUR: 4 November 2026 – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui banyak projek pembangunan di Sabah terbengkalai atau lewat disiapkan, termasuk Lebuhraya Pan Borneo, sehingga mendorong kerajaan memperketat syarat pelaksanaan projek baharu.
“Kita umumkan projek, kita boleh laksanakan tapi banyak yang terbengkalai atau lewat,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee, di Dewan Rakyat pada 3 November 2026.
Dalam soalan tambahan itu, Ronald membangkitkan kelemahan pelaksanaan Pan Borneo Sabah walaupun melibatkan peruntukan besar. Beliau turut menyentuh keadaan jalan raya yang masih daif dan gangguan bekalan elektrik di Tawau.
Menjawab perkara itu, Anwar berkata kerajaan telah berbincang semula dengan kerajaan negeri Sabah, khususnya Ketua Menteri, untuk memberi kelonggaran dalam pelaksanaan projek berskala besar.
Menurutnya, projek besar perlu dilaksanakan secara telus menerusi tender terbuka dan pemilihan syarikat yang benar-benar berkemampuan. Subkontrak berskala kecil pula boleh memberi ruang kepada syarikat tempatan.
Anwar menegaskan pemilihan syarikat untuk projek besar tidak seharusnya tertumpu pada asal daerah atau negeri, sebaliknya berdasarkan keupayaan melaksanakan projek.
“Jangan gunakan umpamanya mengapa tidak syarikat ini, mengapa tidak syarikat dari daerah ini, mengapa tidak syarikat negeri? Jadi ini yang menyukarkan kita,” katanya.
Tambahnya, kerajaan menetapkan syarat lebih ketat untuk projek baharu, khususnya projek yang dilaksanakan dalam tempoh satu hingga dua tahun kebelakangan ini.
Mengenai masalah jalan raya, Anwar berkata beliau telah meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan JKR Persekutuan meneliti semula kerja penyelenggaraan jalan yang tidak termasuk dalam skop projek sedia ada tetapi perlu disegerakan, khususnya di kawasan pedalaman.
