Oleh: Nurul Fazliana Norman
KOTA KINABALU: 16 Julai 2026 – Sorakan penonton yang bergema di sekeliling gelanggang seolah-olah hilang sebaik loceng perlawanan dibunyikan. Yang tinggal hanyalah degupan jantung yang semakin kencang, tumpuan terhadap lawan dan suara jurulatih yang menjadi panduan.
Menurut petinju wanita Sabah, Meredy Micheal, 22, dari Papar, detik itu menjadi ujian sebenar yang memerlukan kekuatan fizikal dan mental. Di dalam gelanggang, setiap pergerakan perlu dikawal, setiap serangan perlu diperhitungkan.
Namun, perjalanan Meredy dalam dunia tinju tidak bermula dengan sarung tangan dan gelanggang. Minatnya terhadap sukan tempur bermula sejak usia enam tahun menerusi taekwondo.
Selepas beberapa tahun dalam seni mempertahankan diri itu, beliau kemudian mencuba Muay Thai selama tiga tahun sebelum mengambil keputusan beralih kepada tinju pada 2024.
Menurut Meredy, keputusan mencuba tinju pada awalnya hanya kerana minat terhadap sukan kombat dan cabaran baharu, namun pengalaman tersebut membuatkannya semakin tertarik untuk meneruskan bidang berkenaan.
“Disebabkan saya memang minat sukan kombat dan sukan ekstrem, saya cuba tinju. Lama-kelamaan saya terus terminat dengan sukan ini,” katanya.
Sebagai persediaan menghadapi BAM Championship, Meredy menjalani latihan intensif hampir sebulan di Manila, Filipina bagi meningkatkan tahap kecergasan dan kemahiran bertinju.
Rutin latihannya bermula seawal jam lima pagi dengan aktiviti jogging sejauh antara dua hingga lima kilometer sebelum meneruskan latihan yang lebih mencabar.
Persediaan seorang petinju bukan hanya bergantung kepada kekuatan tubuh, tetapi juga disiplin dan kemampuan mengawal emosi ketika berdepan tekanan dalam gelanggang.
Berkongsi pengalaman ketika berada dalam ring, beliau berkata suasana pertandingan memerlukan fokus sepenuhnya sehingga hanya arahan jurulatih dan degupan jantung sendiri menjadi tumpuan utama.
“Dari pengalaman saya, selepas masuk dalam ring, saya tidak dengar apa-apa. Saya hanya dengar jurulatih dan degupan jantung sendiri,” katanya.

Walaupun begitu, sokongan penonton tetap memainkan peranan penting terutama ketika berdepan saat sukar dalam pertarungan.
Menurutnya, sorakan penyokong mampu memberikan semangat tambahan apabila tenaga semakin berkurangan.
Sebagai antara petinju wanita yang aktif dalam sukan itu, Meredy berharap lebih ramai golongan wanita berani mencuba tinju kerana penyertaan atlet wanita dalam sukan berkenaan masih kecil.
Katanya, tinju bukan sahaja menguji kekuatan fizikal, tetapi turut membentuk keyakinan diri, disiplin dan ketahanan mental seseorang.
Di sebalik kejayaannya melangkah sejauh ini, Meredy mengakui sokongan ibu dan bapanya menjadi pendorong terbesar sejak hari pertama beliau menceburi sukan tempur.
Selain keluarga, beliau turut menghargai bimbingan jurulatih dari Manila, Filipina yang membantu meningkatkan kemahiran dan persediaannya sebagai seorang petinju.
Menjelang BAM Championship, Meredy berharap orang ramai hadir memberikan sokongan kepada para atlet yang bakal beraksi.
Setiap sorakan dari penyokong menjadi pembakar semangat untuk terus berjuang dan membuktikan kemampuan petinju wanita Sabah ini di pentas pertandingan.

