“Tangon III” angkat warisan tradisi ke arus moden

IMG 2973

KOTA KINABALU: 4 Mei 2026 – Penyanyi tempatan, Dabra Sia, kembali memikat perhatian menerusi pelancaran karya terbaharu berjudul Tangon III, sebuah lagu yang bukan sahaja menampilkan kekuatan vokal, malah membawa mesej mendalam tentang kepentingan mengekalkan tradisi dalam dunia yang semakin moden.

Menurutnya, Tangon III merupakan kesinambungan kepada siri terdahulu yang mengangkat elemen budaya tempatan, dengan penekanan kepada simbolik warisan yang harus dipelihara dari dahulu, kini dan masa hadapan.

“Mesej utama yang ingin disampaikan ialah walau sejauh mana kemajuan zaman, tradisi tetap perlu dikekalkan,” katanya.

IMG 2974

Dari segi produksi, video muzik lagu ini dihasilkan oleh TwntyTwodegree Production, manakala komposisi lagu adalah hasil gabungan idea kreatif Dabra dan kumpulan Tuni Sundatang.

Mengulas reaksi awal pendengar, Dabra menyatakan bahawa lagu tersebut diterima baik oleh peminat, walaupun ada yang berpendapat tahap kesukaran untuk nyanyian secara langsung lebih tinggi berbanding Tangon I dan Tangon II.

Dabra mengakui bahawa siri Tangon banyak membuka ruang untuk beliau bereksperimen dengan pelbagai konsep dan gaya muzik.

“Saya jadi lebih berani mencuba, dan dari sana saya belajar banyak perkara baharu dalam muzik,” jelasnya.

IMG 2969

Dabra berharap siri Tangon dapat diteruskan ke peringkat seterusnya, termasuk perancangan untuk menghasilkan Tangon IV pada masa akan datang.

Selain itu, beliau juga tidak mengehadkan diri kepada satu genre tertentu, sebaliknya terus bereksperimen untuk memberikan kelainan kepada pendengar setianya.

“Cabaran sekarang adalah bagaimana untuk memastikan pendengar terus setia mendengar lagu-lagu baharu saya,” ujarnya.

Walau bagaimanapun, beliau optimis dan berharap karya-karya beliau dan kerjasama bersama kumpulan Tuni Sundatang dapat dipersembahkan secara langsung di lebih banyak pentas, termasuk di peringkat antarabangsa. Dabra juga berharap agar muzik Sabah terus mendapat tempat dan diterima lebih luas di luar negeri.

Dengan pendekatan kreatif dan semangat untuk mengangkat budaya tempatan, Tangon III dilihat sebagai satu lagi langkah penting dalam memperkenalkan keunikan muzik Sabah ke persada yang lebih luas.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal