KOTA KINABALU: 29 Julai 2026 – Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri Sabah akan diadakan untuk julung kalinya di Masjid Negeri pada 31 Julai ini. Majlis bermula pukul 5 petang itu bertujuan mengenang jasa dan pengorbanan pahlawan yang mempertahankan negara pada masa lalu dan masa kini.
Sumbangan akan disampaikan kepada pahlawan yang dikenal pasti oleh Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia.
Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr Sabin Samitah, berkata kira-kira 1,500 peserta dari pelbagai agensi dan orang awam dijangka hadir.

Pemilihan Masjid Negeri sebagai lokasi sambutan, jelasnya, selaras dengan amalan di peringkat Kerajaan Persekutuan.
“Semua anggota, sama ada beragama Islam atau bukan Islam, dijemput hadir. Menurutnya, selain majlis tahlil, bacaan Yasin, dan sembahyang Maghrib dan Isyak, pengisian lain akan diadakan di pekarangan masjid sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas kunjungan hormat Jawatankuasa Pelaksana Sambutan Hari Pahlawan terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, di Istana Seri Kinabalu, pada Selasa. Kunjungan itu adalah untuk menyampaikan jemputan menghadiri sambutan berkenaan.

Turut hadir ialah Pemangku Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Mohd Azhar Hamin; Panglima 5 Briged Kem Lok Kawi, Abdul Razak Harun; Timbalan Pengarah Pengurusan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah, Abdul Manap Abdul Rubim; Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Luar Bandar dan Penguatkuasaan) Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Karim Rahim; dan Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Khidmat Pengurusan), Faradillah Abdul Rani.
Sumber: JAPEN

