Saya mahu jadi suara budaya Murut – Liane

WhatsApp Image 2026 05 13 at 17.50.22 1

KOTA KINABALU: 13 Mei 2026 – Johan Unduk Ngadau Bandaraya Kota Kinabalu 2026, Liane, mahu menggunakan platform kemenangannya untuk menjadi suara budaya Murut dan memperkenalkan warisan Sabah kepada masyarakat lebih luas.

Menurutnya, kemenangan itu bukan sekadar gelaran, tetapi amanah besar untuk membawa identiti budaya ke peringkat lebih tinggi.

“Saya mahu menjadi suara yang membawa cerita tentang warisan, adat dan nilai-nilai yang kita banggakan.

“Saya mahu menggunakan platform ini untuk memperkenalkan keunikan budaya Sabah, khususnya budaya Murut, bukan sahaja di dalam negeri tetapi juga di peringkat lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas dinobatkan sebagai Johan Unduk Ngadau Bandaraya Kota Kinabalu 2026 pada Ahad.

Liane berkata, pengalaman menjadi Johan Unduk Ngadau Tenom 2024 dan meraih tempat kelima di peringkat negeri di KDCA banyak membentuk keyakinan dirinya.

Katanya, pengalaman itu mengajar beliau untuk lebih percaya kepada diri sendiri dan memahami tanggungjawab sebagai wakil budaya.

“Tahun ini saya datang dengan hati yang lebih bersedia dan jiwa yang lebih matang.

“Saya tidak lagi hanya bertanding untuk menang, tetapi untuk membawa makna, mewakili warisan dan menjadi suara kepada masyarakat saya,” katanya.

Liane mengakui cabaran terbesar sepanjang pertandingan adalah tekanan mental dan emosi ketika membawa identiti Murut ke pentas besar.

Menurutnya, beliau sering mempersoalkan kemampuan diri kerana tidak mahu mengecewakan masyarakat yang diwakilinya.

“Membawa busana dan identiti Murut ke pentas sebesar ini datang dengan tanggungjawab besar.

“Tetapi saya belajar mengawal emosi, mempercayai diri sendiri dan menukar tekanan itu menjadi semangat,” katanya.

Liane turut menyifatkan ibu bapanya sebagai individu paling banyak memberi sokongan sepanjang perjalanan pertandingan itu.

Katanya, doa, pengorbanan dan kepercayaan ibu bapanya menjadi sumber kekuatan utama untuk terus melangkah.

“Saya mungkin yang berdiri di atas pentas, tetapi kemenangan ini adalah milik semua yang sentiasa menyokong saya.

“Terima kasih kerana sentiasa percaya dan menjadi kekuatan di belakang saya,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal