by David E.
KOTA KINABALU: 14 Oktober 2026 – Ekonomi Sabah mencatatkan pertumbuhan 5.1 peratus tahun lalu, prestasi terbaik dalam tempoh enam tahun, dengan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) mencecah RM88.8 bilion, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.
Pertumbuhan itu disokong sektor perkhidmatan yang berkembang 4.5 peratus, pembuatan lima peratus dan pembinaan 28.3 peratus.
“Sabah mempunyai momentum pertumbuhan yang kukuh. Tugas kita sekarang adalah menterjemahkan momentum ini untuk perniagaan tempatan yang lebih berdaya saing, industri bernilai tinggi, peluang pekerjaan lebih baik dan lebih banyak peluang untuk masyarakat di seluruh negeri,” katanya.
Hajiji berkata demikian pada majlis perasmian program Kembara Borneo 2026 Edisi Sabah anjuran Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) di Magellan Sutera Harbour Resort, di sini hari ini. Teks ucapan beliau disampaikan Timbalan Ketua Menteri II/Menteri Kewangan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.
Menurutnya, fokus Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 untuk 2026 hingga 2030 menekankan peningkatan daya saing, produktiviti dan penciptaan nilai lebih tinggi. Siling peruntukan pembangunan tertinggi dalam sejarah Sabah berjumlah RM12.02 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), merangkumi 933 projek baharu dan 240 projek sambungan, akan terus memperkukuh daya saing dan tarikan Sabah untuk pelabur.
“Aspirasi kita bukan sekadar menarik perniagaan untuk melabur di Sabah. Kita juga mahu membantu syarikat yang berpangkalan di Sabah berkembang menjadi peneraju di peringkat nasional, serantau dan global,” katanya.
Ini bermakna perlu memupuk kreativiti, daya tahan dan semangat keusahawanan, khususnya golongan muda.
Hajiji menegaskan Sabah berpotensi besar dalam pertanian, Ekonomi Biru dan industri hiliran, disokong sumber asli, biodiversiti dan kedudukan strategik.
Katanya, Ekonomi Biru menawarkan peluang besar dalam perikanan moden, bioteknologi marin dan pelancongan berasaskan alam semula jadi. Di bawah SMJ 2.0, sektor itu berpotensi menjana pendapatan tambahan sehingga RM3.25 bilion setahun.
Jelasnya, sektor pertanian perlu beralih dari pengeluaran utama ke amalan pertanian moden dan berkualiti tinggi, disokong penggunaan teknologi pertanian lebih meluas untuk meningkatkan produktiviti dan memperkukuh keterjaminan makanan.
Kedudukan strategik Sabah di tengah Borneo, berhampiran Brunei Darussalam, Indonesia dan Filipina, menjadikan negeri ini pintu masuk semula jadi untuk perdagangan, pelaburan dan pelancongan di seluruh BIMP-EAGA dan ASEAN.
Beliau berkata Kerajaan Negeri mengalu-alukan usaha SC memperluas pilihan pembiayaan untuk perniagaan di Sabah melalui pendanaan ramai berasaskan ekuiti, pembiayaan antara rakan setara (P2P), pelaburan bersama, modal swasta dan pasaran saham.
“Kita amat mengalu-alukan inisiatif yang menghubungkan perniagaan tani dengan platform pembiayaan, modal teroka dan pelabur ekuiti swasta,” katanya.
Hajiji juga menghargai Skim Keterjaminan Makanan di bawah Dana Pelaburan Bersama Malaysia atau MyCIF. Melalui pelaburan bersama RM1 untuk setiap RM2 yang diperoleh dari pelabur swasta, skim itu menyokong perniagaan dalam sektor pertanian, teknologi pertanian dan bioekonomi.
“Mulakan persediaan dari sekarang untuk mendapatkan modal. Pastikan rekod kewangan diselenggara dengan baik dan perkukuh tadbir urus dan pengurusan perniagaan,” katanya.
“Sabah mempunyai sumber, kedudukan strategik, usahawan dan aspirasi yang besar. Kini, kita perlu memperkukuh hubungan perniagaan tempatan dengan modal, keupayaan dan kerjasama strategik untuk terus berkembang,” katanya.
– TV Sabah

