SUKAU: 6 Mei 2026 – Penyelarasn segera antara agensi diperlukan untuk memastikan pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah mengikut jadual dan tidak berdepan kelewatan.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Haji Hajiji Haji Noor yang turun padang meninjau kemajuan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah, berkata demikian dalam kenyataan media hari ini.
Beliau singgah membuat tinjauan di pakej kerja WP25 ketika dalam perjalanan dari Sandakan ke Lahad Datu sempena Program Lawatan Tinjauan Keselamatan ke Eastern Sabah Safety Zone (ESS Zone).
Dalam taklimat oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), beliau dimaklumkan status semasa projek WP25 yang melibatkan jajaran sepanjang kira-kira 14.96 kilometer dari Kampung Perpaduan Datuk Moh ke Sukau.
Setakat ini, kemajuan fizikal projek direkodkan sekitar 12.35 peratus berbanding sasaran jadual asal sebanyak 15.30 peratus, manakala kemajuan kewangan mencapai 11.52 peratus.
Projek bernilai kira-kira RM269.9 juta itu dijadualkan siap dalam tempoh 36 bulan dengan tarikh penyiapan pada Februari 2028. Antara komponen utama pembinaan termasuk persimpangan bertingkat (flyover), hentian bas, jambatan pejalan kaki serta sistem perparitan dan culvert bagi meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya.

Hajiji turut dimaklumkan mengenai beberapa kekangan utama di tapak yang menjejaskan kemajuan kerja, termasuk isu pengalihan utiliti, pengambilan tanah dan perobohan struktur sedia ada.
Masalah utiliti dikenal pasti antara faktor utama yang memperlahankan kerja tanah, di samping cabaran logistik dan akses sementara di kawasan projek.
Selain WP25, Ketua Menteri turut diberi taklimat perkembangan pakej berhampiran, WP24, yang melibatkan jajaran sepanjang 15.88 kilometer dari Sungai Takala ke Kampung Perpaduan Datuk Moh.
Sehingga April 2026, kemajuan fizikal WP24 direkodkan sekitar 15.60 peratus, turut mencatat sedikit kelewatan berbanding jadual asal.
Sehubungan itu, beliau menekankan kepentingan penyelarasan berkesan antara agensi bagi menangani isu di tapak, termasuk mempercepatkan proses pengambilan tanah dan pengalihan utiliti sebagai langkah segera mengelak kelewatan selanjutnya.
Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1B merupakan inisiatif strategik kerajaan negeri dalam memperkukuh rangkaian infrastruktur jalan raya, sekali gus merancakkan pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan hubungan antara kawasan di Pantai Timur Sabah.
