Sabah FC Juara Challenge Cup dapat bonus RM700k dari Kerajaan Negeri

IMG 2917

KOTA KINABALU: 20 April 2026-Kerajaan Negeri Sabah mengumumkan bonus kemenangan berjumlah RM700,000 kepada Sabah FC selepas pasukan itu menjuarai MFL Challenge Cup 2026 dengan menewaskan Penang FC di Stadium Likas.

Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata bonus itu merangkumi RM500,000 dari Kerajaan Negeri Sabah yang diumumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, dan RM200,000 dari Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah.

Beliau berkata pemberian itu sebagai penghargaan terhadap kejayaan Sabah FC menamatkan penantian panjang untuk kembali menjulang trofi domestik.

“Kejayaan ini diharap menjadi pemangkin kepada pembangunan bola sepak Sabah dan memberi inspirasi kepada generasi muda untuk aktif dalam sukan,” katanya menerusi hantaran Facebook.

Dalam kenyataan sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada penyokong yang memenuhi Stadium Likas dan sokongan penuh kepada pasukan.

Sabah FC menewaskan Penang FC 4-3 menerusi penentuan penalti selepas aksi final berakhir sengit.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal