Oleh: Zaidul Khair bin Jungkim
TUARAN: 28 Julai 2026 – Festival Mojumbak dan Mongigol-Sumayau Dusun (FESMOD) berpotensi untuk diangkat sebagai acara tahunan negeri yang bukan sahaja memelihara warisan tidak ketara, malah dapat memperkukuh identiti masyarakat dan menjadi tarikan pelancongan budaya di Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, berkata kerajaan negeri komited menyokong usaha memartabatkan khazanah budaya selaras dengan aspirasi Sabah Maju Jaya (SMJ) dan prinsip Konvensyen UNESCO 2003.
Menurutnya, penganjuran FESMOD lebih daripada sekadar pertandingan muzik dan tarian tradisional. Ia merupakan wadah yang menghimpunkan komuniti, penggiat seni, dan pelbagai pihak untuk memelihara dan memperkasa warisan.
“Kerajaan negeri akan terus menyokong dan membantu usaha mana-mana pihak, termasuk persatuan kebudayaan yang menggabungkan pemeliharaan khazanah, penyelidikan, dokumentasi, inovasi, dan pembangunan ekonomi kreatif,” katanya.
Ucapan Hajiji dibacakan oleh Setiausaha Politik kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Malaysia, Datuk Mohammad Ghazali Hajiji, pada Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah FESMOD Kali Ke-2 di Dewan Seri Sulaman, Tuaran.
Edisi kedua festival itu memperkenalkan Kategori Pertandingan Tarian Kreasi Baharu Dusun. Langkah tersebut memberi ruang kepada generasi muda, koreografer, dan komposer untuk menghasilkan karya baharu yang berasaskan identiti budaya tradisi.
Hajiji berkata, pengenalan kategori itu membuktikan warisan budaya boleh berkembang mengikut perubahan zaman tanpa menjejaskan keaslian dan jati diri tradisi asal.
Beliau juga menyeru lebih banyak agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi, badan korporat, dan pertubuhan masyarakat berganding bahu untuk memperkukuh ekosistem budaya di Sabah.
Jelasnya, usaha itu penting demi memastikan warisan tersebut terus dipelihara dan diwarisi oleh generasi akan datang.
Turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Sabah, Chong Wai Kit; Timbalan Setiausaha Tetap II Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Dr Cleopatra @ Clare Asing; Pengarah Jabatan Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor; dan Pegawai Daerah Tuaran, Ibrahim Terki.

