Oleh: Zaidul Khair bin Jungkim
RANAU: 28 Julai 2026 – Kontinjen Tawau mencipta sejarah dengan mempertahankan gelaran juara keseluruhan Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Sabah (MSSS) Kali Ke-58.
Kejohanan enam hari di Kompleks Sukan Ranau itu berakhir. Tawau mengumpul 21 pingat emas, 14 perak dan sembilan gangsa, menjadikan jumlah keseluruhan 44 pingat. Kejayaan ini menandakan kemenangan kesembilan berturut-turut untuk kontinjen tersebut.
Jurulatih kontinjen Tawau, Cikgu Jane, berkata persiapan rapi sepanjang tahun menjadi kunci kejayaan. Atlet menjalani latihan intensif dan menyertai pelbagai kejohanan di peringkat sekolah dan daerah. Pendedahan itu memberi pengalaman bertanding dan meningkatkan keyakinan atlet sebelum ke pentas MSSS.
“Persediaan kami memang sepanjang tahun. Bermula awal tahun lagi, atlet mengikuti latihan dan menyertai pelbagai kejohanan sebelum ke MSSS,” katanya.
Menurut beliau, kejuaraan itu tidak mudah diraih. Pasukan berdepan pelbagai cabaran, termasuk kekangan masa, komitmen guru sebagai jurulatih, masalah pengangkutan atlet, dan keperluan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk mengimbangi pelajaran dengan latihan.

“Sebagai jurulatih, kami juga seorang guru dan ibu bapa. Atlet pula perlu mengimbangi pelajaran dengan latihan, malah ada yang menghadapi masalah pengangkutan untuk hadir ke sesi latihan,” katanya.
Sasaran kontinjen adalah untuk mempertahankan kejuaraan ini. Tawau bersedia menjadi tuan rumah kejohanan pada tahun hadapan (2027). Beliau berharap kecemerlangan itu dapat diteruskan, terutamanya kerana Tawau bakal beraksi di hadapan penyokong sendiri.
Sementara itu, beliau memuji Kompleks Sukan Ranau sebagai lokasi strategik dan kondusif. Suasana nyaman dengan latar belakang Gunung Kinabalu yang megah menjadi nilai tambah kepada kejohanan kali ini.
Credit : Steve George (jurugambar)

