300 peserta sertai majlis cintai Rasul

WhatsApp Image 2026 08 27 at 12.23.27 PM

Oleh: Nurul Fazliana Norman

TAWAU: 27 Ogos 2026 – Seramai 300 peserta menyertai Majlis Cintai Rasul sempena Program Jiwa Komuniti Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) di Dewan Serbaguna Kampung Sungai Imam pada Selasa, untuk menyemarakkan kecintaan terhadap agama dan negara menerusi penghayatan sirah Rasulullah SAW.

Pemimpin Pembangunan Masyarakat Merotai, Datuk Mohd Jailani Chachu berkata, sambutan Maulidur Rasul dan Hari Kebangsaan yang diadakan serentak perlu dijadikan wadah memperkukuh silaturahim, memperkasa jati diri dan mendidik generasi muda ke landasan yang betul.

“Kita mesti menjaga hubungan sesama kita, sentiasa bersama-sama mendidik generasi muda serta membawa mereka ke landasan yang betul dan Insya-Allah, anak-anak ini akan menuju ke garisan yang betul,” katanya ketika merasmikan program berkenaan.

Beliau berkata, perjuangan Rasulullah SAW dalam membebaskan Kota Mekah boleh dijadikan teladan dalam membentuk masyarakat yang berakhlak, bersatu padu dan saling menghormati.

“Kita mahu masyarakat bukan sahaja menghayati kemerdekaan sebagai satu nikmat yang perlu disyukuri tetapi turut mengambil perjuangan daripada sirah Rasulullah SAW untuk membentuk masyarakat yang berakhlak, bersatu padu dan saling menghormati,” katanya.

Menurutnya, penggabungan penghayatan agama dan sambutan kemerdekaan memperlihatkan pendekatan menyeluruh dalam membentuk masyarakat yang mempunyai jati diri kukuh dan kecintaan terhadap agama juga negara.

Dalam majlis itu, persembahan qasidah oleh pelajar Madrasah Addiniah Rahmaniah Pondok Sungai Imam turut menghidupkan suasana kerohanian dan menyemarakkan kecintaan hadirin terhadap Rasulullah SAW.

Pengisian turut merangkumi ceramah kemerdekaan oleh Mudir Madrasah Addiniah Rahmaniah Pondok Sungai Imam, Ustaz Tashir Modding, yang mengupas peranan umat Islam dalam menghayati kemerdekaan melalui pengamalan akhlak mulia dan sunnah Rasulullah SAW.

Sumber: JAPEN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal