KOTA KINABALU: 12 Jun 2026 – Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Sabah memulakan siasatan dalaman menyeluruh berhubung dakwaan insiden kematian seekor kucing jantan selepas menjalani prosedur pembedahan kembiri di sebuah klinik veterinar kerajaan.
Pengarah DVS Sabah, Dr Zul Bahar Hj Abdul Rashid, dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya mengambil maklum dan memandang serius dakwaan yang dilaporkan oleh individu dikenali sebagai thebareloons pada 11 Jun lalu melalui hantaran di platform media sosial THREADS.
Menurut kenyataannya, satu siasatan dalaman menyeluruh akan dijalankan segera bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Siasatan yang dijalankan merangkumi pemeriksaan dokumentasi, semakan ke atas prosedur operasi standard (SOP), penelitian rekod berkaitan serta sesi soal selidik bersama petugas yang mengendalikan keseluruhan proses pembedahan.
Jabatan itu turut menasihatkan pemilik kucing supaya segera menghantar karkas (bangkai) haiwan berkenaan ke Makmal Diagnosa Veterinar (MDV) Kepayan, DVS Sabah untuk proses bedah siasat (nekropsi) untuk mengenal pasti punca sebenar kematian.
Kenyataan menekankan bahawa langkah segera ini amat penting kerana karkas yang telah mengalami proses autolisis (reput) boleh menjejaskan ketepatan diagnosis.
DVS Sabah memberi jaminan siasatan akan dijalankan secara telus dan profesional bagi memastikan keadilan kepada semua pihak.
