SABAH: 19 September 2025 – Seorang pegawai perubatan mendedahkan kekangan fasiliti dan kekurangan tenaga kerja di sebuah hospital daerah di Sabah sehingga menjejaskan rawatan kes kecemasan kritikal.
Dr. Filzah Ayuni berkata, dalam kes terbaru membabitkan kelahiran bayi kembar pramatang seberat satu kilogram, hospital hanya mempunyai satu mesin ventilator bayi, menyebabkan seorang lagi bayi terpaksa disokong secara manual sepanjang perjalanan ke Hospital Tawau.
Beliau menjelaskan bahawa rakan setugasnya terpaksa melakukan manual bagging bayi selama dua jam di dalam ambulans sempit sehingga muntah akibat terlalu letih dan lapar.
Menurutnya, pada hari kejadian hospital hanya dikendalikan oleh dua pegawai perubatan kerana cuti umum, menyebabkan tugasan rawatan perlu dilakukan serentak termasuk intubasi bayi, menstabilkan keadaan ibu, menghubungi pakar dan menyediakan penghantaran ke hospital rujukan.
Kekangan logistik turut memaksa kakitangan menggunakan wang sendiri untuk menyediakan keperluan asas seperti lampin, baju bayi dan tisu basah, malah ada petugas yang terpaksa membeli peralatan asas hospital seperti mikropore.
Beliau menambah bahawa doktor dan jururawat di kawasan luar bandar sering bekerja tanpa masa rehat mencukupi, terlalu penat, lapar dan sukar mengambil cuti sakit kerana tiada pengganti.
Dr. Filzah menegaskan bahawa sistem kesihatan di luar bandar masih bertahan bukan kerana perancangan rapi atau fasiliti mencukupi, sebaliknya kerana pengorbanan doktor muda dan jururawat yang ikhlas berkhidmat untuk pesakit.
Sumber: FB- Filzah Ayuni
