KOTA KINABALU: 2 Mei 2026 – Sebuah karya muzik berinspirasikan keagungan Gunung Kinabalu tampil membawa mesej mendalam tentang ketabahan dan perjuangan hidup menerusi lagu berjudul Kinabalu.
Menurut penyanyi, Elica Paujin, perjalanan mendaki yang kadangkala sunyi dan memenatkan mencerminkan realiti kehidupan, ketika seseorang perlu melalui fasa sukar sebelum mencapai kejayaan.
“Lagu ini diinspirasikan dari Gunung Kinabalu dan pengalaman orang yang mendakinya. Seperti yang kita tahu, Gunung Kinabalu adalah lambang kebanggaan kita yang masih berdiri teguh walau dilanda pelbagai cabaran,” katanya.
Katanya, perjalanan mendaki gunung tersebut bukan sesuatu yang mudah dan sarat dengan simbolik kehidupan.
Dari segi penerbitan, lagu ini dihasilkan sendiri oleh Elica dengan kerjasama Butod Bassman sebagai penerbit, manakala lirik turut ditulis bersama Lenzely Salimin. Gabungan ini berjaya mengekalkan elemen muzik Sabahan yang kuat, sekali gus menyuntik identiti tempatan dalam karya berkenaan.
“Walaupun perjalanan itu sukar, kita harus terus melangkah ke hadapan dan kejar impian kita. Di ‘puncak’ nanti, kita akan menemui kekuatan diri dan akhirnya berasa bangga dengan setiap usaha dan cabaran yang sudah kita lalui,” tambahnya.
Justeru itu, Elica berharap lagu Kinabalu mampu menjadi sumber inspirasi kepada pendengar, khususnya mereka yang sedang berusaha mencapai cita-cita masing-masing.
“Terima kasih atas sokongan yang tidak pernah putus dan sentiasa padu. Lagu ini khas untuk anda semua. Semoga kita terus kuat, tabah, dan bangga dengan siapa kita dan dari mana asal kita,” ujarnya.
