TUARAN: 29 April 2026 – Tiga peserta yang berjaya menjuarai pertandingan Randawi Tavantang Kaamatan (RTK) Daerah yang berlangsung di Shangri-La Rasa Ria Tuaran rasmi melangkah ke peringkat RTK Negeri Sabah 2026 selepas diumumkan sebagai juara bagi RTK Tuaran, Tamparuli dan Kiulu.
Menerusi keputusan rasmi pertandingan, Totu Kristern Olwen Jafili dinobatkan sebagai juara RTK Tuaran 2026, manakala Totu Daniel Chrionie muncul juara RTK daerah kecil Tamparuli 2026 dan Hassan Der menjuarai RTK daerah kecil Kiulu 2026.
Kemenangan tersebut sekali gus melayakkan ketiga-tiga peserta berkenaan untuk mewakili daerah masing-masing ke pentas RTK Negeri Sabah 2026 yang bakal menghimpunkan wakil dari seluruh Sabah.

Menerusi temubual bersama salah seorang pemenang yang mewakili RTK Tamparuli 2026, Totu Daniel Chrionie berkata, “Saya amat gembira dan bersyukur kerana dapat meneruskan perjuangan saya ke peringkat negeri.”
Menurut Daniel, keberanian dan semangat untuk mempelajari perkara baharu menjadi antara kekuatan utama yang membantunya menonjol sepanjang pertandingan walaupun berdepan cabaran dalam penguasaan bahasa ibunda dan kekangan masa kerana bekerja jauh di Kuala Lumpur.
Katanya, persiapannya untuk menghadapi pertandingan di peringkat negeri akan memberi tumpuan kepada pengukuhan penggunaan bahasa ibunda selain memperkemaskan persembahan bersama pasukannya.

Daniel berharap lebih ramai belia tampil berani menyertai pertandingan berunsurkan budaya dan tidak takut untuk mempelajari bahasa ibunda masing-masing.
RTK merupakan platform yang mengetengahkan bakat, kepimpinan dan pemahaman generasi muda terhadap budaya dan warisan masyarakat Kadazandusun Murut sempena sambutan Pesta Kaamatan.
