KOTA KINABALU: 1 Mei 2026 – Penyanyi dari Tambunan, Rosario Bianis tampil dengan single terbaharu berjudul Osongulunan (Sendirian), sebuah karya yang mengangkat realiti hubungan tanpa sokongan emosi, dibalut dengan susunan muzik yang menyentuh jiwa.
Rosario, yang aktif dalam industri muzik tempatan sebagai penyanyi dan pengkarya berkata, lagu itu diinspirasikan oleh pengalaman hidup yang dekat dengan masyarakat, khususnya mereka yang berada dalam hubungan namun terpaksa memikul beban secara bersendirian.
“Lagu ini menggambarkan seseorang yang mempunyai pasangan, tetapi tetap menjalani hidup dalam kesunyian. Semua tanggungjawab dipikul sendiri tanpa sokongan emosi yang sepatutnya ada,” katanya.
Menurutnya, elemen kesunyian dalam lagu itu tidak hanya membawa kepada kekecewaan, malah menjadi titik perubahan untuk mendekatkan diri kepada Tuhan sebagai sumber kekuatan.
“Dalam kesunyian itu, kita belajar berserah dan mencari kekuatan dari Tuhan untuk terus bertahan,” ujarnya.
Dari sudut persembahan vokal, Osongulunan menampilkan kontras emosi yang kuat, khususnya pada bahagian korus yang memerlukan lontaran vokal tinggi dan penuh perasaan.
Rosario menjelaskan, walaupun nyanyian dibawakan secara lantang, ia sebenarnya melambangkan suara yang tenggelam dalam kesunyian.
“Tidak semua yang lantang itu didengari, dan tidak semua yang kuat itu benar-benar ditemani. Itu mesej utama lagu ini,” katanya.
Lagu tersebut merupakan hasil kerjasama beberapa penggiat muzik tempatan, dengan komposisi oleh KevinGogds dan Rexynoell James Gerard, manakala lirik ditulis oleh Marcollate Viola Marcus dan Jairah Marcus. Sentuhan muzik turut diperkukuh dengan permainan gitar oleh Adam Johaimi, sementara proses produksi dijalankan oleh Gogds Entertainment.
Mengulas potensi lagu itu, Rosario percaya Osongulunan mempunyai kekuatan untuk dipertandingkan kerana mesejnya yang mendalam dan susunan muzik yang mampu memberi impak kepada pendengar dan juri.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan pembikinan video muzik rasmi (MV) sedang dirancang dan akan melibatkan pelakon tempatan dan pasukan produksi kreatif.
Rosario turut menyuarakan harapan agar industri muzik Sabah terus berkembang, bukan sahaja dari segi jumlah karya, tetapi juga kualiti.
“Harapan saya, muzik Sabah terus maju dan mendapat pengiktirafan di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya.
Lagu Osongulunan (Sendirian) kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube Music, manakala video lirik rasmi turut tersedia di saluran YouTube Gogds Entertainment.
