Taekwondo Kota Kinabalu Mantapkan Persiapan Ke Sabah Games dan Kejohanan Jemputan MBV

Gambar Taekwando Penampang

KOTA KINABALU: 25 September 2025 – Pasukan Taekwondo Kota Kinabalu mengadakan kem latihan berpusat sebagai persiapan menghadapi dua kejohanan penting iaitu Sabah Games 2025 di Tawau pada 13 hingga 16 Oktober serta Kejohanan Jemputan Taekwondo MBV Ke-5 di Putatan pada 2 hingga 5 Oktober ini.

Program latihan intensif yang berlangsung dari 15 hingga 20 September di Stadium Penampang dan Kompleks Sukan Penampang berkenaan dikendalikan Ketua Jurulatih Timothy Felix Chin dengan dibantu jurulatih Mohd Azraai dan Nur Fathiha. Latihan turut dipantau Grandmaster Barry Voon bersama Pengurus Pasukan, Effarizah. Atlet ditempatkan di Housie Homestay, Donggongon sepanjang kem.

Walaupun berdepan cabaran cuaca buruk yang menyebabkan banjir serta tanah runtuh hingga menjejaskan pergerakan atlet, pasukan berjaya meneruskan kem dengan semangat tinggi. Sebanyak 14 sesi latihan intensif, satu sesi pemulihan aktif dan satu sesi sparring dijalankan, merangkumi aspek teknikal, taktikal dan kecergasan fizikal.

Antara pengisian utama ialah sesi pembukaan oleh bekas atlet Sabah, Emmanuel Chok, yang kini jurulatih North Box Borneo, sesi kecergasan trek, latihan penuh tiga kali sehari, pemulihan di kolam renang Penampang, dan latihan sparring pada hari terakhir. Aktiviti malam pula menampilkan sesi motivasi, taklimat pengadilan oleh jurulatih Masniah Jamri, selain aktiviti kumpulan dan refleksi kendiri atlet.

Pihak penganjur turut merakamkan penghargaan kepada pemilik homestay yang bermurah hati menaja satu malam tambahan, membolehkan kem dilanjutkan hingga 20 September. Ucapan terima kasih juga disampaikan kepada ibu bapa yang bukan sahaja memberi sokongan moral malah membantu penyediaan makanan atlet, memastikan kebajikan mereka sentiasa terjaga.

Kepimpinan jurulatih dan disiplin para atlet menjadi teras kejayaan kem ini. Dedikasi pasukan kejurulatihan dalam membimbing serta menjaga kebajikan atlet disusuli dengan semangat juang tinggi para peserta telah melahirkan asas kukuh menjelang cabaran kompetitif akan datang.

Dengan persediaan rapi tersebut, Pasukan Taekwondo Kota Kinabalu diyakini mampu menghadirkan persembahan terbaik dan seterusnya menyumbang kejayaan pada kedua-dua kejohanan yang bakal berlangsung.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal