KENINGAU: 11 Jun 2026 – Dua pelajar berkeperluan khas Kolej Vokasional (KV) Keningau, Faye Chin Ka Feiy dan Clleriscen Welvson, telah memenangi pingat perak dalam pertandingan inovasi projek sosial SOCIOINNOVATION 2026 yang berlangsung secara dalam talian.
Kedua-dua pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) itu mengetuai projek ‘Sign & Tell” dengan kerjasama beberapa pelajar arus perdana vokasional untuk memperkasakan penggunaan bahasa isyarat dalam kalangan pelajar yang boleh mendengar dan bertutur secara lisan.
Projek tersebut bertujuan merapatkan jurang komunikasi dengan rakan sebaya yang bermasalah pendengaran.
Pengarah KV Keningau, Lumang anak Lang, berkata pencapaian tersebut sebagai bukti komitmen pelajar berkeperluan khas dalam menyumbang kepada pembentukan persekitaran pembelajaran yang inklusif.
Menurutnya, pihak kolej memberikan sokongan berterusan terhadap pelajar berkeperluan khas dan Jabatan PPKI yang sentiasa aktif dalam pelbagai aktiviti akademik dan kokurikulum.
Projek ‘Sign & Tell’ mula diperkenalkan pada tahun 2025 melalui kerjasama pelajar PPKI dan pelajar arus perdana vokasional.
Menerusi inisiatif itu, pelajar bermasalah pendengaran berperanan sebagai mentor dalam kelas bersiri bahasa isyarat, selain menghasilkan bahan pembelajaran khas bagi membantu peserta menguasai kemahiran komunikasi tersebut.
Usaha berkenaan berjaya meraih tempat kedua dalam pertandingan kebangsaan Social Project Challenge anjuran myHarapan dengan tajaan Yayasan Telekom Malaysia pada tahun lalu, sekaligus membolehkan projek itu memperoleh geran sebanyak RM2,800.
Pada tahun yang sama, ‘Sign & Tell’ turut menerima pengiktirafan antarabangsa setelah menerima World Changer Award dari SENIA, sebuah persatuan pendidikan khas global.
Bagi tahun 2026, Faye Chin Ka Feiy dan Clleriscen Welvson mengambil alih peranan sebagai ketua projek dengan bantuan beberapa pelajar arus perdana vokasional iaitu Rosselina Senora Ungkak, Daffeny Jeanne Domica, Zizie Umairah Paizal dan Rossaliah Suhaili @ Lasius.
Program Pendidikan Khas Integrasi merupakan antara program yang ditawarkan di KV Keningau kepada pelajar tingkatan empat dan lima yang mempunyai kesukaran pembelajaran, neurokepelbagaian dan masalah pendengaran.
Melalui pelaksanaan projek ‘Sign & Tell’, usaha memperkukuh komunikasi dan hubungan sosial antara pelajar berkeperluan khas dan pelajar arus perdana terus diperkasakan dalam mewujudkan komuniti kampus yang lebih inklusif.
