KOTA KINABALU: 5 Mei 2026 – Cubaan menyeludup dadah dalam kuantiti besar menggunakan helah pengikraran palsu berjaya dipatahkan apabila Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah merampas lebih 300 kilogram methamphetamine di Pelabuhan Sepanggar.
Tindakan itu susulan risikan yang dijalankan pada 22 April lalu, sebelum sepasukan pegawai penguat kuasa memeriksa sebuah kontena 40 kaki yang dihantar dari Pelabuhan Klang.
Hasil pemeriksaan menemukan 15 kotak berisi bahan disyaki methamphetamine seberat 305.722 kilogram dengan nilai anggaran sekitar RM15.29 juta.

Siasatan awal mendapati sindiket cuba mengaburi pihak berkuasa dengan mengikrarkan kandungan kontena sebagai “drink stuff” dalam dokumen penghantaran (Bill of Lading), bagi mengelakkan pemeriksaan terperinci.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.
JKDM Sabah dalam kenyataannya turut menggesa orang ramai agar terus bekerjasama dengan menyalurkan maklumat bagi mengekang aktiviti penyeludupan dadah yang memberi ancaman serius kepada keselamatan masyarakat dan ekonomi negara.
