KOTA KINABALU: 21 Ogos 2026 – Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SE) bersiap siaga memastikan bekalan elektrik kepada pengguna di Sabah kekal stabil sepanjang kerja penyelenggaraan Sabah Oil and Gas Terminal (SOGT) dari 22 hingga 28 Ogos 2026.
Penutupan sementara bekalan gas di kawasan Kimanis itu dibuat untuk memberi laluan kepada kerja penyelenggaraan oleh Petronas.
Dua loji jana kuasa bebas (IPP) yang terlibat akan terus beroperasi menggunakan bahan api alternatif diesel.
Semua pihak terbabit sudah membuat persediaan dengan menyelaras operasi, mengoptimumkan sumber penjanaan, selain mempertingkat pemantauan sistem sepanjang tempoh penyelenggaraan.
Pasukan operasi dan teknikal turut siap siaga menghadapi kejadian luar jangka berkaitan kekangan kapasiti penjanaan.
Sebarang catuan bekalan hanya akan dilakukan mengikut keperluan pada tempoh tertentu dengan impak seminimum mungkin.
Langkah itu menjadi tindakan terakhir bagi mengelakkan ketidakstabilan sistem lebih besar, di samping memastikan keselamatan untuk kebolehpercayaan grid elektrik terus terpelihara.
Orang ramai digalakkan menggunakan elektrik secara berhemah ketika permintaan beban tinggi, dan mendapatkan maklumat terkini melalui saluran rasmi SE.
Sumber: Sabah Electricity

