KOTA KINABALU : 28 April 2026 – Sebanyak RM4.69 bilion bayaran 40 peratus hasil negeri yang tidak dipertikaikan perlu disegerakan Kerajaan Persekutuan, kata Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun.
Beliau berkata jumlah itu melibatkan komponen cukai jelas iaitu kutipan Jabatan Kastam dan cukai pendapatan di bawah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Menurutnya, kerajaan negeri telah menghantar surat rasmi pada 10 April lalu bagi menuntut bayaran 40 peratus dari dua komponen tersebut terlebih dahulu.
“Pendirian kita jelas, cukai yang tidak dipertikaikan jumlahnya hendaklah dibayar dahulu sebelum kita meneruskan rundingan bagi cukai-cukai lain yang masih dalam proses perbincangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, pada Selasa.
Masidi yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata angka RM4.69 bilion itu berdasarkan data rasmi tahunan yang boleh diakses umum dan tidak menimbulkan pertikaian.
Mengulas lanjut, beliau berkata terdapat data hasil lain yang tidak boleh didedahkan kerana masih dalam rundingan antara kerajaan negeri dan Persekutuan.
“Kita tidak boleh berunding melalui media. Ada perkara yang perlu dihormati dalam proses rundingan, termasuk menjaga kedudukan kita sendiri,” katanya.
Dalam sesi sama, ADUN Tambunan, Jeffrey Kitingan, membangkitkan isu ketelusan data hasil negeri termasuk kutipan sejak 2002 hingga 2025 dan sama ada hasil petroleum dan duti eksport dimasukkan dalam tuntutan.
Menjawab perkara itu, Masidi menegaskan semua hasil yang menjadi hak Sabah akan dituntut, termasuk sektor minyak dan gas.
“Semua cukai yang kita fikirkan kita ada hak, kita tuntut — tidak kira apa jenis cukai,” katanya.
Sementara itu, beliau memaklumkan anggaran kutipan merangkumi kira-kira RM7.547 bilion dari Cukai Langsung (LHDN) dan Cukai Tidak Langsung (Kastam), manakala 40 peratus Pemberian Khas dianggarkan RM3.019 bilion.
Isu tuntutan 40 peratus hasil Sabah kekal menjadi agenda rundingan utama, termasuk komponen yang masih dipertikaikan dan “lost years” sejak 1974.
