Jelajah Kebun Dapur Semarakkan Kaamatan Papar

photo 2026 05 02 18 04 17

PAPAR: 1 Mei 2026 – Suasana Perasmian Pesta Kaamatan peringkat Negeri Sabah di daerah Papar tahun ini diserikan dengan pelancaran Program Jelajah Kebun Dapur yang menampilkan pelbagai inisiatif pertanian komuniti bagi memperkukuh keterjaminan makanan bermula dari rumah.

Program yang digerakkan oleh Korperasi Pembangunan Desa (KPD) dengan kerjasama agensi-agensi di bawah kementerian berkaitan itu bertujuan memperkenalkan konsep kebun dapur kepada penduduk setempat, selain menggalakkan amalan pertanian berskala kecil di halaman rumah.

photo 2026 05 02 17 59 32

Pengurus Projek KPD Papar, Crispin berkata, pihaknya memperkenalkan dua pakej utama iaitu kebun dapur tanaman cendawan dan ternakan ayam kampung bagi memberi peluang kepada isi rumah menjana sumber makanan sendiri.

“Pakej ini diperkenalkan selaras dengan saranan Menteri Pertanian bahawa keterjaminan makanan harus bermula dari rumah. Melalui inisiatif ini, penduduk bukan sahaja dapat mengurangkan kos sara hidup, malah menikmati hasil segar secara berterusan,” katanya ketika ditemui di tapak pameran.

photo 2026 05 02 17 59 19

Selain pakej kebun dapur, gerai KPD turut mempamerkan produk hiliran seperti madu lebah (termasuk madu tropika, lebah liar dan trigona), produk berasaskan moringa yang diproses dalam bentuk uncang minuman.

photo 2026 05 02 17 59 26

Turut menjadi tarikan ialah produk ayam kampung segar dan cendawan tiram, yang diketengahkan sebagai contoh hasil akhir dari pelaksanaan kebun dapur di peringkat isi rumah.

Inisiatif jelajah tersebut akan diteruskan ke beberapa daerah lain sempena musim Kaamatan, termasuk di Tenom pada 9 Mei dan Beaufort pada penghujung bulan ini.

photo 2026 05 02 17 59 40

Sementara itu, Mohd Nadzri, pegawai penguasa Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) Papar turut mengambil bahagian dengan memperkenalkan pakej tanaman nanas varieti MD2 yang sesuai ditanam di halaman rumah sama ada di tanah atau dalam pasu.

photo 2026 05 02 17 59 59

Menurutnya, setiap pakej mengandungi 10 sulur nanas yang dijual pada harga RM15 dengan tempoh matang antara 12 hingga 14 bulan, bergantung kepada penjagaan dan pembajaan.

“Selain getah, kami kini giat mempelbagaikan sumber pendapatan peserta dengan tanaman nenas dan penternakan ikan tilapia, memandangkan harga getah yang tidak menentu,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Pertanian Daerah Papar turut mempamerkan pelbagai tanaman jangka pendek seperti cili, halia, kunyit dan herba, selain sistem hidroponik yang semakin mendapat perhatian dalam kalangan petani tempatan.

photo 2026 05 02 17 59 53

Penolong Pegawai Pertanian Papar, Nurashila berkata, kebanyakan hasil tanaman tersebut diusahakan oleh petani tempatan yang menjual terus kepada pembeli atau melalui pemborong.

“Petani di Papar kebanyakannya mengusahakan pelbagai jenis tanaman mengikut permintaan pasaran. Ini membolehkan mereka menjana pendapatan secara lebih stabil,” jelasnya.

Program Jelajah Kebun Dapur dilihat sebagai platform penting dalam mendekatkan teknologi dan amalan pertanian moden kepada masyarakat, sekali gus menyemarakkan sambutan Kaamatan dengan nilai tambah kepada ekonomi dan kesejahteraan komuniti setempat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal