KV Keningau Most Innovative School di Sabah Festival of Ideas, Menang 5 Anugerah Utama dan 20 Pingat

KENINGAU: Seramai 35 orang pelajar dan 12 guru dari Kolej Vokasional (KV) Keningau telah mempertandingkan 20 projek di Sabah Festival of Ideas anjuran Universiti Malaysia Sabah bersama dengan beberapa organisasi di universiti tersebut pada 16 sehingga 17 Oktober 2025.

KV Keningau telah berjaya memenangi empat anugerah STEM Pioneers dalam tiga kategori serta pemenang keseluruhan, anugerah Permata Kearifan kategori seni dan kraf tangan serta anugerah sekolah paling inovatif di samping mengutip 20 pingat yang terdiri daripada 15 pingat emas dan 5 pingat perak.

Majlis anugerah tersebut dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk. Ts. Mustapha Sakmud.

Lima peringkat zon bagi dua kategori pertandingan iaitu Kearifan Lokal dan STEMQuest Ignite telah dilaksanakan di daerah Keningau, Tawau, Sandakan, Kota Marudu dan Tuaran dan para pemenang pingat bagi setiap zon layak untuk bertanding di peringkat negeri yang dilaksanakan sempena Sabah Festival of Ideas.

KV Keningau telah menghantar penyertaan ke zon Keningau dan seterusnya zon Tuaran dan sebanyak 20 projek mara ke peringkat negeri yang berlangsung di UMS.

Projek Eco Mush Block yang dipertandingkan oleh dua orang pelajar pengurusan perniagaan iaitu Batrisya Jeffley dan Vivianey Frederic bersama guru pembimbing Lizah Dullah telah dipilih sebagai pemenang anugerah STEM Pioneers kategori inovasi kelestarian hijau dengan hadiah wang ringgit RM 200 dan anugerah STEM Pioneers keseluruhan dengan hadiah wang ringgit RM 1000. 

Inovasi mereka merupakan bahan bakar yang diperbuat daripada bongkah cendawan terpakai. Pemenang STEM Pioneers bagi keterjaminan makanan dan kehidupan sihat ialah pasukan daripada program bakeri dan pastri yang terdiri daripada tiga pelajar iaitu Aishah Humaira, Muhd Fadzrul dan Afifah Ridwana beserta guru pembimbing Anita Md. Yasin.

Mereka mempertandingkan roti berkualiti tinggi yang mereka namakan “Mochia Bread” dan menerima wang ringgit berjumlah RM 200. 

Pemenang anugerah STEM Pioneers bagi ketahanan komuniti dan penyelesaian masalah kehidupan seharian adalah pasukan teknologi automotif yang terdiri daripada pelajar Dexter Erwinn Darmawan dan guru Freadoline Fook Liew dengan projek mereka yang membersih penyuntik bahan api yang mereka namakan “Fuel Injector Cleaner”.  Pasukan ini turut menerima wang ringgit berjumlah RM 200.

Dengan kutipan pingat sebanyak 20 termasuk 15 emas melalui inovasi daripada pelbagai program iaitu teknologi pembinaan, teknologi elektrik, seni kulinari, kosmetologi, teknologi automotif, bakeri dan pasti serta pengurusan perniagaan dan pendidikan inklusif, kolej ini menerima anugerah khas sekolah paling inovatif yang diterima oleh semua warga kolej yang hadir semasa majlis itu diketuai oleh pengarah KV Keningau, Lumang anak Lang.

Pengarah KV Keningau, Lumang anak Lang, yang turut hadir semasa majlis anugerah tersebut berasa sangat bangga dan gembira dengan pencapaian para pelajarnya beserta guru-guru yang membimbing mereka.

Beliau berpendapat bahawa ini membuktikan bagaimana pendidikan kolej vokasional berada dalam landasan yang betul dalam melatih para pelajar untuk menguasai kemahiran teknikal dan menggunakan kemahiran mereka untuk menyelesaikan masalah dan menggunakan peluang yang ada untuk membantu komuniti melalui projek inovasi mereka.

Pengarah Pusat Pengurusan Inovasi dan Pengkomersialan UMS, Profesor Dr. Jidon @ Adrian Janaun, memuji kolej ini atas kegigihan mereka menyertai pertandingan ini dengan jumlah penyertaan terbanyak dan menyifatkan mereka sebagai satu sekolah yang mempunyai identiti tersendiri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!


 

This will close in 5 seconds

TV Sabah | News Portal