Sabah Perluas Pertanian Berkualiti, Lindungi Petani Tempatan

photo 2026 05 06 10 26 17

PAPAR: 6 Mei 2026 – Usaha memperkasa amalan pertanian berkualiti melalui pensijilan Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia (MyGAP) perlu diperluaskan di Sabah untuk menjamin keselamatan makanan dan meningkatkan nilai hasil tempatan.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, kejayaan pengusaha tanaman fertigasi dan hidroponik, Owan’s Farm di Kampung Buang Sayang yang memperoleh pensijilan MyGAP membuktikan potensi besar sektor tersebut sebagai contoh kepada pengusaha lain.

“Pensijilan ini membuktikan hasil pertanian mematuhi piawaian ketat termasuk penggunaan bahan kimia secara terkawal, lebih mesra alam dan selamat untuk dimakan,” katanya ketika lawatan ke ladang berkenaan pada 4 Mei, Isnin.

photo 2026 05 06 10 26 22
Jamawi (depan) mendengar taklimat mengenai tanaman hidroponik salad daripada Penyelia Owan’s Farm, Mohd Ikmal Zuhairi Ismadi.

Beliau menegaskan pendekatan tersebut wajar diperluaskan dan dijadikan penanda aras dalam kalangan pengusaha pertanian di Sabah, selain meningkatkan kesedaran pengguna terhadap kepentingan memilih makanan berkualiti.

“Kita perlu mendidik masyarakat supaya memilih sumber makanan yang telah disahkan oleh pihak berkuasa, sekali gus menghargai kualiti hasil pertanian tempatan,” katanya.

Dalam masa sama, kementerian akan terus menyokong pengusaha tempatan khususnya dalam sektor hidroponik dan fertigasi, termasuk merancang sesi libat urus untuk menghimpunkan lebih ramai pemain industri sebagai langkah membantu meningkatkan keupayaan pemasaran hasil pertanian pada harga yang lebih kompetitif berbanding kaedah tradisional.

photo 2026 05 06 10 26 26
Jamawi (kanan) mendengar taklimat mengenai tanaman hidroponik salad daripada Penyelia Owan’s Farm, Mohd Ikmal Zuhairi Ismadi.

Jamawi turut menekankan kepentingan pengukuhan aspek biosekuriti demi melindungi industri pertanian negeri dari ancaman luar.

“Kita telah memperketatkan penguatkuasaan biosekuriti, khususnya terhadap hasil pertanian import, namun isu penyeludupan masih berlaku dan menjejaskan pasaran tempatan,” tambahnya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan keperluan kerjasama lebih erat antara agensi penguat kuasa untuk menangani isu berkenaan secara bersepadu.

Usaha berterusan ini penting untuk memastikan kualiti dan keselamatan makanan kekal terjamin, di samping melindungi kepentingan dan pendapatan petani tempatan di Sabah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal