Wanita bersama syabu bernilai RM3,000 ditahan di Penampang

POLIS

PENAMPANG: 6 Mei 2026 – Seorang wanita tempatan bersama dadah jenis syabu bernilai RM3,000 ditahan dalam operasi yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, semalam.

Suspek berusia 38 tahun itu diberkas semasa operasi pada 5 Mei di sekitar daerah Penampang hasil risikan dan tindakan penguatkuasaan yang dijalankan pihak polis.

Dua paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis methamphetamine atau syabu dengan anggaran berat keseluruhan 21.20 gram, ditemui dan anggaran nilai mencecah sekitar RM3,000.

Siasatan lanjut turut mendapati wanita berkenaan positif methamphetamine dan amphetamine selepas menjalani ujian saringan air kencing.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan sebatan sekiranya disabitkan kesalahan.

Selain itu, suspek turut disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana penyalahgunaan dadah.

Polis dalam kenyataan berkata, pihaknya akan terus mempergiat usaha membanteras aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah di daerah berkenaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan jenayah atau penyalahgunaan dadah diminta menyalurkan maklumat kepada balai polis berhampiran untuk membantu siasatan dan tindakan penguatkuasaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal