CASTEL GANDOLFO: 6 Mei 2026 – Pope Leo XIV sekali lagi menegaskan pendirian tegas Gereja Katolik yang menolak pemilikan dan penggunaan senjata nuklear, sambil menyeru masyarakat antarabangsa mengutamakan keamanan dan dialog dalam menangani ketegangan dunia.
Dalam pertemuan bersama media di Castel Gandolfo, beliau menafikan dakwaan yang mengaitkan Vatican dengan sokongan terhadap pembangunan senjata nuklear oleh mana-mana negara, termasuk Iran.
Menurut Pop Leo, Gereja Katolik sejak sekian lama konsisten menentang kewujudan senjata pemusnah besar-besaran kerana ancamannya terhadap keamanan dunia dan nilai kemanusiaan sejagat.
Kenyataan itu disampaikan ketika dunia terus berdepan ketegangan geopolitik dan kebimbangan terhadap perlumbaan persenjataan yang semakin meningkat di beberapa rantau.
Pope Leo XIV menekankan bahawa keamanan tidak boleh dibina melalui ancaman ketenteraan atau kekuatan senjata, sebaliknya keamanan memerlukan komitmen bersama terhadap diplomasi, persefahaman, dan penghormatan terhadap kehidupan manusia.
Sejak menerajui Gereja Katolik, beliau berulang kali menggesa kuasa dunia memperkukuh usaha perlucutan senjata dan mengelakkan tercetusnya perlumbaan senjata nuklear baharu yang mampu menggugat kestabilan global.
Pope Leo XIV juga memberi amaran bahawa kegagalan negara-negara besar mencapai persefahaman dalam isu kawalan senjata boleh meningkatkan risiko konflik berskala besar pada masa hadapan.
Pendirian Vatican itu selari dengan prinsip keamanan yang sekian lama diperjuangkan Gereja Katolik, iaitu penolakan terhadap penggunaan senjata yang berpotensi membawa kemusnahan besar kepada manusia dan alam sekitar.
Dalam perkembangan berkaitan, kenyataan Pope Leo XIV turut mencetuskan perhatian antarabangsa susulan kritikan beberapa tokoh politik Amerika Syarikat terhadap pendiriannya mengenai isu keselamatan global dan konflik melibatkan Iran.
Bagaimanapun, Vatican menegaskan bahawa seruan yang disampaikan oleh Pope Leo XIV adalah berteraskan usaha mempertahankan keamanan sejagat demi mengelakkan dunia dari ancaman peperangan nuklear.
