Oleh David E
KENINGAU: 16 September 2026 – Dr Jeffrey G Kitingan menegaskan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) ialah dokumen hidup yang mengikat Sabah, Sarawak dan Persekutuan, dan pelaksanaannya perlu berpandukan semangat federalisme sebenar.
“MA63 bukan dokumen mati yang boleh ditafsir sesuka hati. Ia adalah kontrak hidup antara Sabah, Sarawak dan Malaya (Persekutuan Tanah Melayu). Apa yang perlu ialah pelaksanaan yang jujur, telus dan berpandukan semangat federalisme sebenar,” katanya pada forum “MA63: Resolve or Dissolve” di Kg. Samalang, Keningau, sempena sambutan Hari Malaysia.
Beliau juga menyentuh Batu Sumpah Keningau yang menjadi simbol ikrar rakyat Sabah mempertahankan hak dan kedudukan negeri.
“Batu Sumpah ini mengingatkan kita bahawa hak Sabah bukan pemberian, tetapi hak yang termaktub dalam perlembagaan dan perjanjian. Ia bukan retorik politik, sebaliknya soal maruah dan masa depan rakyat Sabah,” katanya.
Sementara itu, selepas menghadiri forum berkenaan, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal melalui FB peribadinya berkata pelaksanaan MA63 perlu dilakukan secara jujur dan telus untuk memastikan hak Sabah, kepentingan rakyat dan masa depan generasi akan datang terus terpelihara.
Beliau berkata MA63 bukan sekadar catatan sejarah, tetapi asas pembentukan Malaysia yang mengiktiraf kedudukan dan hak Sabah.
“Selepas 63 tahun, kita mahu semangat dan perjanjian MA63 terus dihormati dan dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh,” katanya.
“Perjuangan ini bukan untuk kepentingan mana-mana individu atau kelompok, tetapi untuk memastikan hak Sabah, kepentingan rakyat dan masa depan generasi akan datang terus terpelihara,” tegas Shafie.
Forum terbuka kepada umum itu dianjurkan United Borneo Front (UBF), Borneo Heritage Foundation (BHF) dan Moningolig Pogun Tokou (MOPOT). Ia membincangkan MA63, Batu Sumpah, hak perlembagaan dan masa depan Sabah.
Hadir sama Ahli Parlimen Keningau, Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah dan penulis buku “Keadilan untuk Sabah” dan “Hari Sabah”, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G Kitingan; Mantan Timbalan Speaker Dewan, Datuk Lawrence Gimbang; dan Pengerusi Penganjur, Datuk Petinggi Andrew Atama Katama Ambrose.
Pengerusi penganjur forum, Dato’ Petinggi Andrew Atama Katama Ambrose, berkata forum terbuka itu dianjurkan untuk memberi ruang kepada rakyat memahami MA63, Batu Sumpah, hak perlembagaan dan masa depan Sabah.
Katanya, forum itu mendapat sambutan penduduk setempat, pemimpin komuniti, golongan belia dan wakil pertubuhan bukan kerajaan.
“Kami mahu rakyat faham MA63 bukan isu orang bandar atau golongan tertentu sahaja. Ia menyentuh kehidupan seharian, termasuk tanah, pendidikan, kesihatan dan pembangunan,” katanya.
Datuk Lawrence Gimbang menekankan kepentingan pendidikan sivik dan kesedaran perlembagaan dalam kalangan rakyat, terutama di kawasan pedalaman.
“Rakyat di pedalaman, termasuk Keningau, perlu memahami hak mereka di bawah MA63 dan Perlembagaan Persekutuan. Kesedaran sivik dan pendidikan politik yang betul adalah kunci supaya hak ini tidak dipinggirkan,” katanya.
Menurutnya, Batu Sumpah bukan sekadar monumen, tetapi ikrar rakyat Sabah untuk mempertahankan hak dan autonomi negeri.
Forum itu turut membincangkan isu berkaitan hak perlembagaan Sabah, pelaksanaan MA63 dan masa depan negeri dalam kerangka Malaysia.

