Oleh: Zaidul Khair bin Jungkim
KUALA LUMPUR: 2 Oktober 2026 — Astro akan menayangkan siri eksklusif “Walimatulurus Bella Astillah dan Syed Saddiq” bermula 6 Oktober ini. Lapan episod itu memaparkan persiapan, detik pernikahan dan kehidupan selepas bergelar suami isteri.
Naib Pengerusi Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad berkata, pihaknya berbesar hati diberi kepercayaan merakam perjalanan pasangan terbabit untuk tontonan rakyat Malaysia.
“Pada kami, satu penghormatan dapat mengabadikan detik ini. Kami berharap siri ini dinikmati penonton, dari debaran menuju hari bahagia, majlis pernikahan hingga fasa baharu,” katanya.
Raqim mengucapkan tahniah dan berharap rumah tangga mereka dilimpahi kebahagiaan, kasih sayang dan kenangan indah.
Majlis resepsi akan diadakan di Muar, Johor pada 25 Oktober untuk keluarga Syed Saddiq, diikuti Kota Kinabalu, Sabah pada 31 Oktober untuk keluarga Bella.
Menurut Bella, detik itu bermakna kerana dapat berkongsi kebahagiaan bersama keluarga, Ayden dan Ara, dan insan yang sentiasa mendoakan mereka.
Syed Saddiq menghargai doa dan sokongan diterima. Beliau berterima kasih kepada Astro kerana menjadi sebahagian daripada projek itu.
Siri itu bersiaran setiap Selasa, jam 11 malam di Astro Ria (saluran 104). Ia juga boleh distrim melalui Astro GO atau Sooka.
Majlis pernikahan akan disiarkan langsung pada 10 Oktober, jam 9 pagi melalui Astro Ria, Astro Prima, Astro Awani, Sooka, Astro GO, media sosial Astro Malaysia dan Astro Gempak.
Sumber: Astro

