BIGSABAH Sale 2026 sasar lebih 100,000 pengunjung, lonjak PKS ke pasaran serantau

IMG 3954

Oleh: Nurul Fazliana Norman

KOTA KINABALU, 31 Oktober 2026 — Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) meriah dengan kehadiran pengunjung dari pelbagai lapisan masyarakat menyertai BIGSABAH Sale 2026 yang bermula 30 Oktober hingga 1 November ini, dengan sasaran melebihi 100,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjurannya.

Lebih 600 ‘booth’ pameran membarisi ruang SICC, membabitkan perniagaan dan wakil dari sembilan negara, sekali gus memperluas peluang perdagangan dan jaringan perniagaan serantau.

Bagi usahawan kecil di luar bandar, kehadiran pembeli dan pengedar dari dalam dan luar negara membuka ruang baharu untuk produk mereka menembusi pasaran lebih luas — satu harapan yang jelas terpancar pada wajah para peniaga yang sibuk melayan pengunjung sejak pagi.

Majlis pelancaran rasmi BIGSABAH Sale 2026 disempurnakan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, hari ini.

Bertemakan Across Markets, Beyond Borders, penganjuran kali ini memberi penekanan kepada aktiviti perniagaan antara syarikat (B2B) dan perniagaan kepada pengguna (B2C). Ia turut menjadi platform menghubungkan usahawan dengan pembeli berpotensi, pengedar, peruncit termasuk rakan strategik dari Sabah, seluruh Malaysia dan pasaran serantau.

Dalam ucapan perasmian yang disampaikan oleh Setiausaha Sulit Kanan kepada Ketua Menteri Sabah, Ceasar Mandela Malakun, Hajiji menekankan kepentingan memperkukuh perusahaan kecil dan sederhana (PKS), khususnya melalui penggunaan teknologi digital, e-dagang dan inovasi untuk meningkatkan produktiviti dan memperluas akses pasaran.

“Perusahaan kecil dan sederhana perlu terus diperkasakan melalui penggunaan teknologi digital, e-dagang dan inovasi untuk meningkatkan produktiviti dan memperluas akses pasaran,” katanya.

Beliau berkata, pembangunan keusahawanan dan pelaburan kekal sebagai komponen penting dalam agenda pembangunan Sabah Maju Jaya.

IMG 3936

Sementara itu, Pengerusi Penganjur BIGSABAH Sale 2026, Datuk Dr Hajah Rosmawati Haji Lasuki berkata, penganjuran tahun ini merupakan langkah untuk mengembangkan acara berkenaan melangkaui platform pameran dan jualan konvensional.

Menurutnya, pihak penganjur berhasrat mewujudkan platform lebih menyeluruh yang menggabungkan tarikan kepada pengguna dengan peluang penglibatan perniagaan dan pembangunan keusahawanan.

“BIGSABAH Sale 2026 bukan sekadar platform jualan kepada pengguna, tetapi turut menyediakan peluang penglibatan perniagaan dan pembangunan keusahawanan,” katanya.

cf823cd7 8cc0 4f0a 9116 d51dbbd712a7

Antara pengisian utama ialah Big Bad Wolf Book Fair, AI Business Scale-Up Bootcamp, CULT – Car Culture Festival 2026 edisi kelima, Agro Forum and Trade Connect 2026, pertunjukan fesyen, bengkel pembangunan profesional, pertandingan e-sukan dan BIGSABAH Voice.

Penganjuran itu turut menyokong perkembangan sektor pelancongan Sabah yang merekodkan kira-kira 3.79 juta ketibaan pelawat pada 2025, meningkat 20.8 peratus berbanding tahun sebelumnya. Sehingga Ogos 2026, Sabah merekodkan 2,556,823 ketibaan pelawat, meningkat 4.1 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

BIGSABAH Sale 2026 berlangsung sehingga 1 November ini di SICC, Kota Kinabalu dengan kemasukan percuma.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal