Oleh David E.
KOTA KINABALU: 31 Oktober 2026 – Tragedi menyayat hati membabitkan dua beranak yang maut dihempap kontena di Sepanggar baru-baru ini menjadi pemangkin kepada langkah drastik Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah merangka garis panduan khas untuk membolehkan tindakan tegas dan pantas diambil terhadap pengusaha atau pemandu kenderaan berat yang melanggar syarat lesen.
Pengerusinya, Senator Datuk Phoong Jin Zhe, berkata sudah tiba masanya isu pematuhan keselamatan kenderaan komersial ditangani secara serius tanpa sebarang kompromi.
“Kita tidak boleh membiarkan kelalaian pengusaha atau pemandu terus mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain. Garis panduan baharu ini akan mempercepatkan proses siasatan dan tindakan punitif ke atas pihak yang gagal mematuhi peraturan,” tegasnya selepas mempengerusikan Mesyuarat Anggota Lembaga LPKP Sabah kelmarin.
Menurut Phoong, garis panduan itu akan membolehkan tindakan diambil dengan lebih pantas terhadap mana-mana syarikat pengendali atau pemandu yang gagal mematuhi syarat lesen sehingga membahayakan nyawa awam.
Menyentuh perkhidmatan BAS.MY Kota Kinabalu, beliau memaklumkan kajian berhubung cadangan jajaran semula laluan telah selesai dan pada dasarnya dipersetujui pihak lembaga.
Bagaimanapun, penjajaran laluan tersebut belum dapat dilaksanakan kerana melibatkan perubahan kontrak perolehan dan memerlukan kelulusan semula di peringkat Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kewangan Malaysia.
“Perkara ini bukan bermakna kita tangguhkan, tetapi pelaksanaannya menuntut penyelarasan implikasi kewangan bersama kementerian terbabit terlebih dahulu sebelum dilaksanakan dan boleh beroperasi sepenuhnya,” jelasnya.
Beliau menzahirkan penghargaan atas sambutan luar biasa warga Kota Kinabalu terhadap perkhidmatan BAS.MY yang mencatatkan 598,054 penumpang setakat Oktober 2026.
Pada masa sama, Phoong mengumumkan seramai 1,106 pemandu bas sekolah, kereta sewa dan teksi disahkan layak menerima bantuan One-Off RM1,000 yang dijadualkan berlangsung pada 6 November depan.
Menurutnya, LPKP Sabah akan menghubungi para penerima dalam masa terdekat berkenaan maklumat lanjut penyampaian bantuan tersebut.
“Inisiatif ini membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan warga pengangkutan, dan kita amat berterima kasih kepada Menteri Pengangkutan Malaysia, Loke Siew Fook atas sokongan yang berterusan,” tambahnya.

