KUALA LUMPUR: 17 September 2025 – Hasrat jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia untuk melakar kebangkitan di Masters China tidak kesampaian apabila beliau terpaksa menarik diri pada set penentuan ketika menentang pemain Taiwan, Lin Chun Yi di Shenzhen Arena.
Zii Jia memulakan perlawanan dengan baik apabila mencatat kemenangan 21-17 pada set pertama namun momentum tidak kekal apabila tunduk tipis 21-23 di set kedua.
Pada set penentuan, pemain ranking ke-42 dunia itu terpaksa menarik diri ketika ketinggalan 6-14, sekali gus memberi laluan kepada Chun Yi mara ke pusingan kedua.
Kekalahan ini menambah duka buat pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris itu selepas tewas di pusingan pertama Terbuka Hong Kong minggu lalu kepada rakan senegara, Leong Jun Hao.
Dalam acara beregu lelaki, pasangan juara Terbuka Macau, Arif Junaidi-Yap Roy King, turut terkandas selepas tunduk kepada beregu utama India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty.
Arif-Roy King tewas straight set 22-24, 13-21 dalam perlawanan yang berlangsung selama 42 minit, sekali gus gagal menebus kekalahan mereka di suku akhir Terbuka Hong Kong minggu lalu.
Sumber: Berita Harian
