KENINGAU: 18 September 2025 – Seorang kakitangan Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB), Masedeh Rosmin, yang sebelum ini dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus deras ketika bertugas di lapangan, telah ditemui meninggal dunia.
Dalam satu kenyataan rasmi, pihak SESB melahirkan rasa dukacita atas kehilangan tersebut dan merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham.
Syarikat itu juga memberi jaminan akan menyalurkan sokongan sewajarnya termasuk bantuan kebajikan dan sokongan emosi kepada keluarga mangsa.
SESB turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak berkuasa dan pasukan penyelamat yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat, termasuk Team Gelen Star, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta rakan-rakan sekerja yang membantu sepanjang operasi pencarian.
Allahyarham disifatkan sebagai seorang kakitangan berdedikasi tinggi dalam melaksanakan tugas, dan pemergiannya amat dirasai oleh seluruh warga SESB.
Pihak syarikat juga menyeru semua pihak agar menghormati sensitiviti keluarga mangsa yang kini sedang melalui detik sukar.
Sumber: Kenyataan Rasmi
