Oleh: Nurul Fazliana Norman
SEMPORNA: 6 November 2026 – Dua lelaki ditahan untuk membantu siasatan selepas 1,145 liter petrol dan diesel yang disyaki barang kawalan tanpa permit dirampas di kawasan rumah atas air, Kampung Balimbang Haji Jamal, Pulau Bum Bum, di sini, 3 November lalu.
Rampasan Pasukan Polis Gerakan Am (PGA) Batalion 22 Kunak itu melibatkan 125 liter petrol dan 1,020 liter diesel dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM5,934.15.
Kes berkenaan kemudian diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Semporna untuk tindakan lanjut.
Turut disita dua bot kayu, sebuah enjin sangkut Yamaha 30 kuasa kuda (HP), sebuah enjin pam dan beberapa peralatan lain yang dipercayai digunakan dalam aktiviti berkenaan.
Susulan itu, KPDN Cawangan Semporna membuka satu kertas siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
Mengikut akta berkenaan, individu yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta untuk kesalahan pertama, manakala kesalahan berikutnya boleh dikenakan denda sehingga RM3 juta, penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Syarikat yang disabitkan boleh dikenakan denda sehingga RM2 juta untuk kesalahan pertama dan RM5 juta untuk kesalahan berikutnya.
Sumber: KPDN Sabah
