oleh David E.
KOTA KINABALU: 2 November 2026 – Edisi ke-34 Borneo Safari International Offroad Challenge 2026, acara 4×4 ekstrem terbesar dan paling lama berlangsung di Malaysia, melabuhkan tirai malam tadi selepas lapan hari aksi mencabar di Ulu Tongod, Sabah.
Acara bermula 25 Oktober lalu dari bangunan Sabah Tourism Board di Jalan Gaya, menghimpunkan lebih 650 kenderaan 4×4 diubah suai dan lebih 1,700 peserta dari Semenanjung, Sabah, Sarawak dan 15 negara.
Peserta diuji menerusi laluan hutan berlumpur, cerun curam, gaung V, tanah runtuh, beberapa lintasan sungai dan halangan sukar lain di kawasan hutan simpan terbabit.
Kejohanan kategori Competition melibatkan 31 pasukan bertanding dalam 24 Special Stage (SS), manakala konvoi Tag On melalui laluan sama sukar dengan hujan berterusan menambah cabaran.
Pada majlis makan malam penutup di sini, malam tadi, pasangan Aleshen Lo dan Norlee Yap dari Kota Kinabalu muncul juara keseluruhan dengan 1,927 mata, mendahului pesaing terdekat 76 mata.
Mereka membawa pulang Piala Kejohanan Borneo Safari, hadiah tunai dan barangan bernilai RM135,472.
“Saya sangat gembira hari ini. Kami berlatih bersungguh-sungguh untuk memastikan kami bersedia menghadapi acara ini dan segala usaha keras itu berbaloi,” kata Aleshen.
Naib johan menjadi milik Alexander Chang dan Anderson Abdullah dari Kota Marudu yang membawa pulang trofi dan hadiah bernilai lebih RM84,967, manakala tempat ketiga disandang Koo Foi Loong dan Velerick Martin dari Keningau dengan trofi dan hadiah bernilai lebih RM57,758.
Penganjur, Persatuan Four Wheel Drive Sabah (SFWDA), berkata acara itu terus membina reputasi sebagai salah satu kejohanan offroad paling mencabar dan diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Presiden SFWDA merangkap Pengarah Acara Borneo Safari, Faez Nordin, mengucapkan tahniah untuk semua peserta dan merakamkan penghargaan kepada penaja, rakan kerjasama, agensi kerajaan dan pertubuhan sokongan.
Beliau memberi penghargaan khas untuk Isuzu Malaysia Sdn Bhd sebagai Diamond Sponsor, Grantt Lubricants sebagai Platinum Sponsor dan Rakan Pelincir Rasmi tahun ke-10 berturut-turut, dan PETRONAS Dynamic Diesel Euro5 with Pro-Drive sebagai Rakan Bahan Api Rasmi.
Turut hadir Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Ja’afar, bersama wakil penaja, rakan kerjasama dan agensi kerajaan sokongan.
Sumber: MAFFI
