Oleh: Nurul Fazliana Norman
KUALA LUMPUR: 1 Oktober 2026 – Kementerian Pendidikan menghentikan segera semua program melibatkan seorang penceramah bebas yang pernah mengendalikan program bersama murid di sekolah susulan dakwaan serius yang sedang tular di media sosial.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, tindakan itu diambil untuk memberi ruang kepada siasatan penuh berhubung dakwaan yang melibatkan keselamatan dan perlindungan murid.
Beliau juga meminta Kementerian Pendidikan mendapatkan maklumat lanjut berhubung perkara itu.
“Dakwaan yang dibangkitkan adalah serius kerana melibatkan keselamatan dan perlindungan murid.
“Saya telah meminta Kementerian Pendidikan mendapatkan maklumat lanjut berhubung perkara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Fadhlina turut menyeru mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan dakwaan itu supaya tampil melaporkan kepada pihak polis.
Menurutnya, laporan kepada pihak berkuasa penting untuk memastikan keselamatan, perlindungan dan sokongan yang sewajarnya diberikan kepada murid.
“Keselamatan murid mesti dipandang serius dan diteliti. Keselamatan anak-anak di bawah jagaan kita tidak boleh dikompromi,” katanya.
Sumber: Pejabat Menteri Pendidikan

