PENAMPANG: 25 Mei 2026 – Di sebalik kehangatan sambutan Pesta Kaamatan tahun ini, kemunculan pasangan kembar seiras yang mewakili daerah berbeza dalam pertandingan Unduk Ngadau Kaamatan peringkat KDCA berjaya mencuri perhatian ramai dan mencetuskan keterujaan orang ramai.

Walaupun dilahirkan pada hari yang sama dan membesar di bawah satu bumbung, perjalanan kedua-dua gadis kali ini membawa mereka ke arah yang berbeza apabila masing-masing berjaya mewakili daerah berasingan dalam pertandingan Unduk Ngadau. Kehadiran mereka bukan sahaja menarik perhatian kerana wajah yang hampir serupa, tetapi juga kerana semangat dan keunikan yang dibawa sebagai wakil daerah masing-masing.

Caesyzizi Liakim, 25, seorang pegawai sumber manusia yang mewakili Lahad Datu, mengakui peluang untuk berdiri di pentas prestij itu membawa tanggungjawab besar kerana dirinya bukan hanya membawa nama sendiri, tetapi juga identiti masyarakat daerah tersebut.
“Cabaran paling besar ialah tanggungjawab dan harapan yang dibawa bersama. Saya bukan membawa nama diri sendiri sahaja, tetapi juga identiti, budaya dan harapan masyarakat Lahad Datu,” katanya.
Menurutnya, persiapan menghadapi pertandingan peringkat negeri bukan sekadar tertumpu kepada penampilan luaran, malah melibatkan persediaan mental, disiplin diri, dan penambahan pengetahuan tentang budaya masyarakat Lahad Datu, khususnya masyarakat Dusun Subpan dan Dusun Segamo yang mempunyai sejarah dan warisan tersendiri.

Sementara itu, Candycyci Liakim, 25, yang bekerja dalam bidang pemasaran dan mewakili daerah Paitan, turut membawa misi yang cukup dekat di hatinya, iaitu memperkenalkan budaya etnik Sandayo yang masih kurang dikenali masyarakat luar.
“Sebagai wakil Paitan dan juga membawa nama etnik Sandayo, saya mahu orang ramai lebih mengenali identiti, bahasa dan budaya masyarakat kami. Walaupun etnik ini kecil, budayanya tetap mempunyai nilai yang besar dan wajar diwariskan kepada generasi akan datang,” katanya.
Di sebalik persalinan tradisi dan senyuman yang menghiasi pentas, tersimpan kisah dua anak Ranau yang membuktikan bahawa kejayaan bukan hanya tentang gelaran, tetapi keberanian untuk membawa warisan budaya dan identiti masyarakat ke pentas yang lebih tinggi.
“Walaupun kami bertanding membawa daerah yang berlainan, kami tetap mempunyai satu tujuan yang sama, iaitu memperkenalkan budaya dan memberikan yang terbaik,” ujar mereka berdua.

Di pentas yang sama, dua wajah serupa berdiri membawa nama daerah berbeza. Namun di sebalik perbezaan itu tersimpan satu ikatan yang tidak mungkin dipisahkan – ikatan sebagai saudara kembar yang berkongsi impian dan semangat yang sama.
